Petronas ceriakan Aidilfitri 300 keluarga kurang bernasib baik - Utusan Malaysia

Petronas ceriakan Aidilfitri 300 keluarga kurang bernasib baik

Dari kiri: Ketua HSSE PRPC, Mohamad Hatta Abu Bakar, seorang sukarelawan daripada PIC, Ketua Kampung Teluk Ramunia, Syed Bahrim Syed Ibrahim dan Ketua Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan PRPC, Izzuddin A Ghani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : 300 ibu tunggal, warga emas, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) dekat Kampung Teluk Ramunia, di Pengerang, Johor gembira apabila menerima sumbangan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri daripada Petronas.

Malah, ibadah puasa mereka di hari-hari terakhir Ramadan juga turut diceriakan dengan menerima sumbangan bubur lambuk dan bakul makanan untuk berbuka dan menyambut Aidilfitri.

Sumbangan itu diterima mereka pada 5 Mei lalu iaitu seminggu sebelum seluruh umat Islam menyambut 1 Syawal apabila sekumpulan sukarelawan dari Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) mengedarkannya di Masjid Kampung Teluk Ramunia.

Ketua Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Syarikat Petronas Carigali dan Petrokimia (PRPC), Izzuddin A. Ghani berkata, program bermakna ini berjaya direalisasikan dalam tahun ke tujuh walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Ini adalah tahun ketujuh kami menganjurkan program ini. Program ini sangat bermakna bagi kita supaya dapat terus memberikan sumbangan kepada masyarakat di sini walaupun dalam keadaan yang mencabar, dalam kita merayakan dua bulan mulia iaitu Ramadan dan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, program berkenaan adalah sejajar dengan inisiatif #ForPengerang yang mengadakan program buka puasa setiap tahun sejak 2013 secara bergilir-gilir dekat masjid di Pengerang.

Program tersebut juga merupakan antara inisiatif PRPC untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara syarikat dengan masyarakat setempat.

Bagi tahun 2020 dan 2021, PRPC mengedarkan bubur lambuk dan bakul makanan di bawah program Sumbangan Ramadan dan Syawal Bersama Komuniti Pengerang.

Hingga kini, PIC telah melaksanakan lebih dari 100 inisiatif komuniti sebagai sebahagian daripada inisiatif #ForPengerang yang bertujuan untuk mewujudkan impak sosial yang positif bagi masyarakat di sekitarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN