Pengusaha bas tunggu masa untuk ‘bungkus’ ­ - Utusan Malaysia

Pengusaha bas tunggu masa untuk ‘bungkus’ ­

R. THIAGARAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat peng­usaha bas di negeri ini hanya mampu menghitung hari untuk menghentikan operasi mereka setelah masalah kredit berterusan membelenggu mereka.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R. Thiagarajan berkata, setakat ini, hampir 40 peratus daripada keseluruhan 4,000 syarikat perkhidmatan bas sudah ‘menggantung kunci’ mereka.

Katanya, ini kerana hutang mereka berterusan menimbun setelah perkhidmatan terjejas dek kerana penularan pandemik Covid-19 yang mengekang mereka daripada beroperasi dan menjana pendapatan.

Tambahan pula, katanya, mereka turut terbeban disebabkan syarikat kredit yang membiayai pembelian bas enggan be­kerjasama bagi mengurangkan ansuran sewa beli kenderaan termasuk tidak menawarkan skim moratorium yang ditetapkan kerajaan.

“Kebanyakan syarikat kredit menuntut bayaran bulanan se­perti biasa memandangkan skim moratorium itu bukanlah perkara wajib. Keadaan ini menyebabkan syarikat bas digertak pihak kredit untuk menarik kenderaan, dikenakan tindakan mahkamah serta disenarai hitam kerana gagal melunaskan bayaran.

“Ada di antara mereka yang berputus asa setelah gagal melunaskan hutang keliling pinggang dan terpaksa gulung tikar serta menjual kenderaan sebagai pilihan terakhir.

“Perkara ini sudah kita suarakan yang menuntut campur tangan kerajaan namun tidak ada penyelesaian proaktif buat kami. Bantuan diberikan bersifat one-off tidak mampu membawa kami keluar daripada kemelut ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Februari lalu, Thiagarajan turut menghantar memorandum keluhan hati pengusaha dan pemandu bas ekspres Malaysia untuk diserahkan kepada Istana Negara.

Thiagarajan memberitahu, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pengusaha bas eks­pres paling teruk terkesan kerana aktiviti rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga hari ini.

Katanya, kebiasaannya menjelang musim perayaan Aidilfitri seperti sekarang ini, perkhidmatan mereka tidak menang tangan dan mendapat permintaan tinggi bahkan tidak mampu menampung kadar penggunaan yang tinggi.

“Musim perayaan merupakan masa di mana pengoperasian bas ekspres berada di tahap luar biasa namun segalanya berubah sejak PKP pada Mac lalu, kini ia menjadi terhad dan bilangan penumpang terjejas begitu teruk sekali gus menyebabkan operasi syarikat mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit,” katanya.

Jelasnya, perkara sama turut dirasai pengusaha bas persiaran yang semakin pupus setelah banyak syarikat telah menghentikan operasi mereka dan menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya