Mesin meletup: JKKP Perak arah henti aktiviti penyelenggaraan - Utusan Malaysia

Mesin meletup: JKKP Perak arah henti aktiviti penyelenggaraan

ZAMZURIN Maarof memeriksa pintu thermal oil heater yang meletup dalam kejadian di sebuah kilang pemprosesan batu kuari di Batu 3, Temoh di Tapah, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengarahkan aktiviti penyelenggaraan mesin pendandang di sebuah kilang pemprosesan batu kuari di Batu 3, dekat Temoh, Tapah dihentikan serta merta berikutan insiden mesin itu meletup semalam.

Pengarahnya, Ir. Zamzurin Maarof berkata, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati, dandang jenis ‘thermal oil heater’ yang sedang dalam proses ‘start-up’ untuk beroperasi itu meletup hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu dan sebahagian daripada komponen ‘furnace’ dandang tersebut.

“Thermal oil heater berfungsi membekalkan sumber haba ke dalam ‘dryer’ bagi tujuan mengeringkan arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar di dalam jentera ‘kiln’.

“Letupan dandang itu menyebabkan ‘burner’ tercabut yang mana seorang jurutera elektrik dan dua jurulektrik melecur di muka dan tangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, arahan menghentikan aktiviti penyelenggaraan itu sehingga siasatan lanjut dijalankan dan cadangan tindakan penambahbaikan dilakukan oleh majikan.

Katanya, tindakan perundangan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN