PETALING JAYA: Dalam tempoh empat tahun sejak 2018 hingga Mac lalu, sebanyak 40 kes langgar lari terpaksa ditutup atau diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ini bermakna, si pelaku bebas manakala mangsa terpaksa menanggung derita sepanjang hidup sama ada akibat trauma atau kecacatan tanpa mendapat pembelaan.
Salah seorang mangsa langgar lari , Zaxry Ahmad Fikri, 13, dari Kemaman, Terengganu terpaksa melupakan hasrat memasuki sekolah sukan selepas motosikal dinaikinya dilanggar sebuah lori enam bulan lalu.
Akibat kejadian pada pukul 9.30 malam, remaja itu kini terlantar tanpa mampu berkomunikasi mahupun makan sendiri.
Cerita ibunya, Engku Intan Nurul Ain Naim, 35, selepas nahas itu Zaxry ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan, di Kuantan, Pahang lebih dua bulan sebelum dibenarkan pulang kerana sepanjang rawatan dia tidak menunjukkan perubahan.
Menurut wanita itu, kecederaan serius di kepala turut menyebabkan anak kedua daripada tiga beradik itu terpaksa menjalani dua pembedahan membuang lebihan cecair di kepala sekali gus mengakibatkan anggota badannya tidak lagi mampu berfungsi dengan baik dan kini hanya terlantar atas katil.
“Sudah enam bulan dia terlantar dan sekadar mampu membuka mata. Saya rindukan suara Zaxry. Sebelum kemalangan Zaxry seorang yang ceria dan aktif dalam sukan di sekolah termasuk menjadi johan di peringkat negeri bagi acara lompat tinggi dan larian 200 meter pada 2019.
“Pagi sebelum kejadian, Zaxry beritahu dia mahu masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil atau Sekolah Sukan Bukit Nenas. Itulah kali terakhir saya bercakap dengan Zaxry,” katanya ketika ditemui di Geliga Permai, Kemaman baru-baru ini.
Engku Intan Nurul Ain memberitahu, setiap kali menguruskan Zaxry termasuk memberi ubat dan susu menerusi tiub, air matanya mengalir kerana tidak sanggup melihat penderitaan anaknya.
Jelas ibu itu lagi, peluang untuk melihat Zaxry sembuh mungkin memakan masa dan mereka sekeluarga perlu menerima hakikat jika keadaan itu tidak berlaku.
“Dalam hati memang ingin tahu siapa yang melanggar anak saya dan bagaimana punca kejadian tetapi sukar sebab kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian berhadapan Stesen Minyak Petron di Geliga tidak berfungsi pada masa itu.
“Kawan Zaxry yang membonceng motosikal tidak sempat melihat nombor pendaftaran lori dan hanya tahu lori melanggar mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Engku Intan Nurul Ain bersyukur atas keprihatinan banyak pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menyumbang lampin pakai buang serta susu khas kepada Zaxry.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tindakan NFA ‘diisytiharkan’ antaranya kerana penyiasat kekurangan bukti untuk mendapat pembelaan ke atas mangsa yang terlibat kemalangan.
“Ada antara kes langgar lari yang dibuka tidak mempunyai keterangan kuat kerana maklumat diberikan tidak tepat.
“Malah kita juga mengenal pasti ada antara kes yang melibatkan kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” kata beliau di sini baru-baru ini.
Selain itu, menurut beliau, terdapat juga kemalangan yang dilaporkan tiada saksi tampil untuk membantu siasatan.
“Kekangan-kekangan tersebut menjadi antara faktor kes-kes tidak dapat diteruskan menyebabkan nasib mangsa tidak boleh dibela,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Azisman memberitahu, dalam tempoh tersebut terdapat kira-kira 300 kemalangan langgar lari direkodkan di seluruh negara tetapi 210 kes berjaya diselesaikan manakala baki 42 kes masih dalam siasatan dengan lapan kes sedang melalui prosiding perbicaraan.
Selain itu, menurut beliau, pihaknya turut mencatatkan sebanyak 1,621 kemalangan berpunca daripada kesalahan melanggar lampu isyarat.
Jelas beliau, daripada jumlah itu, 738 membabitkan kemalangan maut, 553 cedera parah dan 330 mengalami cedera ringan.
“JSPT mengeluarkan 242,684 saman bagi pengguna jalan raya yang melanggar lampu isyarat dalam tempoh empat tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 124,013 notis telah dijelaskan manakala selebihnya belum diselesaikan.
“Ini melibatkan kenderaan semua jenis iaitu motosikal, kereta, lori dan sebagainya. JSPT memandang serius sikap pengguna jalan raya yang tidak mengikut peraturan,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Azisman berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 melibatkan 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berhubung kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol menyebabkan penurunan terhadap kesalahan itu.
Jelas beliau, sebelum pindaan itu dikuatkuasakan, kira-kira 868 kes direkodkan bagi tempoh 23 Oktober 2020 hingga 31 Mac lalu.
“Untuk tempoh 23 Oktober 2019 hingga 31 Mac tahun lalu, sebanyak 1,183 kes dicatatkan.
“Kes melibatkan pemandu mabuk agak menurun, mungkin disebabkan faktor kesedaran pengguna jalan raya terutamanya mereka yang minum alkohol untuk tidak memandu ketika mabuk kerana hukuman dan denda yang lebih berat sekiranya mereka ditahan JSPT,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA










