SERDANG: Sebanyak 3,695 atau 59 peratus katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini penuh susulan peningkatan kes harian jangkitan pandemik itu.
Pada Jumaat lepas, seramai 939 pesakit baharu mendaftar di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAPES) itu menjadikan jumlah penghuni kelmarin meningkat kepada 3,695 orang.
Penambahan penghuni itu menyebabkan katil kosong di MAEPS berkurangan kepada 41 peratus atau yang tinggal kini 2,577 buah.
Pihak pengurusan PKRC menyusun semula strategi bagi menempatkan pesakit baharu terutama mereka yang dikelaskan dalam kategori tiga.
Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim berkata, penyusunan semula katil serta pembukaan dewan baharu perlu susulan trend peningkatan jumlah pesakit kategori tiga dan jumlah yang sedang dirawat kini seramai 1,121 orang.
“Pesakit kategori tiga adalah kritikal dan sekiranya kesihatan mereka merosot, mereka memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) untuk distabilkan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Jadi, kita terpaksa ubah strategi, daripada katil dua tingkat, kepada katil biasa. Sebab itulah, bila kita melihat angka, kita perlu melihat strategi selanjutnya,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Dr. Shahbudin turut memaklumkan sebanyak enam buah dewan di MAEPS sudah pun digunakan sepenuhnya untuk menempatkan pesakit daripada kategori satu hingga tiga.
Justeru, bagi memastikan MAEPS terus dapat menampung peningkatan pesakit baharu, sebuah lagi dewan khemah besar sedang dibina untuk menempatkan kira-kira 1,740 katil.
“Sekarang ini, dewan A, kita terpaksa tukar katil dua tingkat kepada katil setingkat untuk menempatkan 1,121 pesakit kategori tiga sahaja.
“Jadi, strategi kita adalah membina dewan E (khemah) yang dibahagikan kepada tiga kawasan. Apabila siap pasang, kemudahan di sana boleh menempatkan kira-kira 580 katil di setiap tiga kawasan dalam dewan E,” ujarnya.
Sementara itu, di Kelantan, dua lagi PPRC di dua lokasi bakal dibuka bagi menampung peningkatan kes jangkitan di negeri itu.
Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, dua PKRC baharu itu masing-masing terletak di Padang Perdana dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjung Chat di sini.
Menurut beliau, dua PKRC tersebut dijangka mampu menempatkan hampir 1,000 pesakit Covid-19 tahap satu dan dua.
“Disebabkan beberapa kluster baharu wujud di Kelantan, PKRC yang sedia ada hampir penuh dan kita terpaksa memikirkan untuk membuka beberapa PKRC lagi.
“PKRC di Gelanggang Seni kini semakin ramai pesakit yang masuk ke situ selepas wujudnya Kluster Pauh Lima, Pulau Beluru dan Kampung Terusan,” katanya di sini hari ini.- UTUSAN










