JBPM beri amaran kepada anggota, pegawai langgar SOP

JBPM beri amaran kepada anggota, pegawai langgar arahan PKP

MOHAMMAD Hamdan (dua dari kiri) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang anggota bomba dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Ibu pejabat Bomba Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana anggota dan pegawainya yang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, anggota dan pegawai bomba juga seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu, pihaknya telah mengambil tindakan tatatertib terhadap dua individu termasuk salah seorangnya merupakan pegawai kanan kerana melanggar syarat PKP.

“Kes pertama berlaku di Semenanjung yang mana pegawai kanan terbabit ditahan di sekatan jalan raya kerana menggunakan alasan peribadi untuk rentas negeri, manakala kes kedua di Sabah atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan melebihi masa ditetapkan.

“Tujuan tindakan diambil adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan jika kita tidak ikut, masalah pandemik tidak akan terhenti sebab tiada kepekaan.

“Sekiranya berlaku (rentas negeri) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandang keadaan begini sudah begitu lama dan mustahil pegawai ini tidak memahami serta mengetahui arahan yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Ibu Pejabat Bomba Negeri Selangor yang turut dihadiri Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis dan Timbalannya, Wan Md Razali Wan Ismail.

Dalam majlis berkenaan, seramai 131 anggota dan pegawai daripada 1,700 JBPM Selangor menerima anugerah tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Hamdan berkata, sehingga hari ini, seramai 8,296 anggota dan pegawai telah divaksin sepenuhnya.

Jelasnya, setakat ini, tiada anggota yang menunjukkan kesan kritikal disebabkan menerima vaksin, namun ada daripadanya berasa demam, otot lemah dan pening.

“Bagi sanitasi awam pula, kita telah melakukan proses tersebut sebanyak 21,038 premis iaitu bagi kerajaan sahaja 10,575 membabitkan sekolah, balai bomba dan polis.

“Sementara selebihnya melibatkan pusat perniagaan, stesen pengangkutan awam, perumahan, tempat ibadat, kawasan perumahan, pasar awam dan pasar raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN