Jangkitan tinggi bukan makna PKP gagal - Utusan Malaysia

Jangkitan tinggi bukan makna PKP gagal

Polis membina sekatan jalan raya bagi memastikan pematuhan SOP Covid-19 bagi mencegah penularan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini yang masih merekodkan kes melebihi 4,000 bukan bererti kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru memasuki tiga hari pelaksanaannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini kerana tempoh inkubasi jangkitan Covid-19 adalah dalam 14 hari, dengan purata lima ke enam hari, sebelum kes yang dijangkiti virus itu mula menunjukkan gejala.

DR. ADHAM BABA

Menurut beliau, merujuk kepada tren mobiliti penduduk Malaysia melalui google.mobility dalam tempoh seminggu dari 4 Mei hingga 11 Mei lalu, perhimpunan atau aktiviti sosial dalam komuniti seperti pergi ke pasar raya, bazar Ramadan dan pasar basah telah meningkat.

Beliau menjelaskan, keadaan ini berlaku terutamanya di negeri-negeri yang melaporkan kes Covid-19 yang tinggi dengan peratusan kes sporadik melebihi 50 peratus.

“Keadaan ini boleh menyebabkan penularan jangkitan berlaku dan kesannya dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua minggu berikutnya, termasuklah pada masa sekarang,” kata beliau di sini semalam.

Adham berkata, banyak laporan dipaparkan di media sosial mengenai pergerakan komuniti merentas sempadan beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu sebelum PKP dikuatkuasakan pada 12 Mei lalu.

Kata beliau, pergerakan itu membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti terutama dalam kalangan ahli keluarga yang dikunjungi.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti sosial yang diadakan sempena hari raya seperti kunjung-mengunjung, berkumpul beramai-ramai juga akan meningkatkan risiko penularan jangkitan.

“Justeru, dijangkakan bilangan kes harian akan meningkat seawalnya dua minggu selepas sambutan Aidilfitri sekiranya tiada kawalan kepada pergerakan rentas sempadan dan aktiviti sosial.

“Namun begitu, bilangan kes harian ini dapat dikurangkan sekiranya orang ramai kekal tinggal di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta arahan kerajaan.

“Sekiranya bergejala segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara pada 12 Mei hingga 7 Jun ini sebagai langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga wabak itu sekali gus boleh mencetuskan suatu krisis nasional, apatah lagi kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN