KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19 menjadi perkara yang lebih membimbangkan berbanding penularan virus itu sendiri terutama dalam keadaan kes meningkat saban hari.
Pakar Sosial, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kini bukan sahaja golongan antivaksin yang menyebarkan dakwaan kononnya pengambilan vaksin Covid-19 berisiko tinggi, malah dalam kalangan warga maya juga berebut-rebut menjadi wartawan tidak bertauliah.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan kini, masyarakat di negara ini janganlah menambah kekeliruan menjadi ejen penyebar maklumat atau berita palsu.
“Jangan kerana nak nampak hebat atau menjadi sumber maklumat dalam kumpulan WhatsApp atau apa sahaja platform media sosial, kita sanggup menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya.
“Dalam hal berkaitan vaksin Covid-19 ini, seelok-eloknya dirujuk terus kepada Kementerian Kesihatan atau mendapatkannya menerusi platform rasmi kementerian berkenaan,” katanya, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penularan banyak maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19 di media sosial yang menimbulkan panik kepada rakyat.
Mohammad Shatar berkata, serahkan saja perihal vaksin ini kepada yang pakar dan bukan golongan yang gemar menakut-nakutkan masyarakat dengan dakwaan tidak saintifik mereka mengenai vaksin Covid-19.
Beliau berkata, hal seumpama itu menjadi punca masyarakat enggan disuntik vaksin Covid-19 walaupun sudah berdaftar, contohnya di Kelantan yang mana hampir 10,000 orang tidak hadir untuk janji temu vaksinasi.
Katanya, sebelum menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya, ingatlah kepada barisan hadapan termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan, polis, tentera, malah petugas media yang setiap hari bekerja bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Lebih baik mengisi masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan aktiviti bermanfaat seperti keagamaan atau riadah ringan di dalam rumah daripada menjadi ejen penyebar berita palsu,” katanya.- UTUSAN ONLINE