Dr. Mahathir tidak tolak bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15

Dr. Mahathir tidak tolak bertanding PRU-15

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun tidak menolaknya jika dipaksa oleh para penyokong.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, sekiranya beliau menetapkan pendirian bahawa tidak bertanding pilihan raya, sudah pasti para penyokong termasuk ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak bersetuju dengan keputusannya.

“Saya tidak nak bertanding, tetapi orang saya ini susah. Kalau saya cakap tidak mahu bertanding nanti mereka marah.

“Jadi saya tidak tahu hendak buat apa, saya terpaksa ikut dengan orang sokong saya. Daripada dahulu pun saya bukan hendak bertanding pun tetapi mereka hendak saya bertanding,” katanya dalam wawancara bersama Dialektika TV yang disiarkan melalui Facebook hari ini.

Ketika ditanya sama ada potensi Pejuang dalam PRU-15, Dr. Mahathir selaku pengasas Pejuang berkata, meskipun ia parti kecil, tetapi mereka mempunyai matlamat besar iaitu menghapuskan rasuah seperti mana kehendak rakyat.

Katanya, rakyat Malaysia kini amat benci dengan amalan rasuah sehingga terdapat wakil rakyat mudah dibeli oleh pihak tertentu.

“Pejuang ini parti kecil tetapi perjuangan kita adalah rakyat iaitu menghapuskan rasuah. Oleh itu sebab itu mereka (rakyat) tidak mahu sokong mana-mana parti sebab semua berjuang untuk diri sendiri.

“Tetapi dalam Pejuang, kita bukan berjuang untuk diri tetapi untuk orang lain iaitu ingin menang pilihan raya dan mendirikan kerajaan bagi menjalankan tugas dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN