PETALING JAYA: Orang awam digesa membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati mereka ‘ditekan’ klinik swasta yang mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan Covid-19
Tindakan klinik mengenakan caj bagi Ujian Kit Pantas Antigen (RTK Ag) dan Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) pada harga yang melampau menimbulkan tanggapan tidak baik terhadap semua pengusaha klinik swasta.
Ini kerana kepercayaan diberikan kerajaan kepada mereka bukan sahaja untuk mengurangkan beban klinik kesihatan dan hospital, malah sepatutnya membantu rakyat mendepani penularan pandemik yang memasuki gelombang keempat.
Justeru, Yang Dipertua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail yang terkilan dengan sikap pengusaha klinik sedemikian menyifatkan tindakan itu tidak adil kerana memberi kesan terhadap klinik swasta lain dan meminta pengguna membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan,
“Saya terkejut apabila mendapat tahu ada klinik yang mengenakan caj ujian saringan Covid-19 lebih daripada ditetapkan kerajaan. Cuma setakat ini belum nampak lagi mana-mana klinik yang dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan itu.
“Setakat ini, kita sudah keluarkan arahan dan didik ahli supaya patuh dan sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam, perkara sebegini tidak sepatutnya berbangkit dalam kalangan Perdim,” katanya semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, terdapat klinik swasta mengenakan caj yang tinggi bagi ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK dan PCR melebihi had dibenarkan masing-masing iaitu RM60 dan RM150 (RM80 dan RM200 bagi Sabah dan Sarawak).
Hal demikian adalah bertentangan dengan arahan Kementerian Kesihatan yang telah diwartakan dalam Ordinan Darurat 2021 berkuatkuasa pada 17 Mei lalu.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri menambah, caj yang dikenakan kerajaan itu cukup rendah dan orang ramai diminta supaya menyedari pengorbanan yang dilakukan pengusaha klinik swasta.
“Sebenarnya caj RTK, RM60 dan PCR, RM150 itu pun tak padan dengan kelengkapan dan persediaan petugas untuk jalankan ujian, tetapi kita tetap berkorban,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










