KUALA LUMPUR: Rakyat diseru memberi bantuan bagi membantu penduduk Palestin yang berdepan musibah akibat serangan zionis Israel.
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bantuan tersebut terdiri dalam beberapa bentuk seperti solidariti melalui media sosial, bantuan kewangan atau barangan keperluan.
“Kita mungkin sedang berdepan waktu yang sukar tatkala pandemik covid-19 yang belum berakhir tetapi rakyat Palestin berhadapan detik yang lebih sukar ketika ini.
“Marilah kita lakukan apa yang termampu untuk menyokong dan membantu mereka yang berada di waktu yang lebih sukar.
“Paling kurang pun, marilah sama-sama kita doakan agar peperangan ini akan segera tamat dan penderitaan mereka berakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.
Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.
Dalam pada itu, beliau juga mewakili suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel ke atas siri serangan berterusan ke atas umat Islam yang berada di Baitulmuqaddis.
Tegasnya, tiada alasan munasabah uang boleh diberikan tentera Israel yang memulakan serangan tersebut tatkala umat Islam terutama di Gaza sedang menunaikan ibadah.
Tambahnya, setiap individu berhak untuk beribadah dengan aman malah tidak boleh dihalang tanpa mengira agama yang dianuti.
“Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam. Di penghujung Ramadan hinggalah tibanya Syawal, bedilan roket dan bom masih menghujani bumi Palestin yang tidak berdosa.
“Justeru, solidariti bersama Palestin adalah seruan dari Yayasan Perpaduan Malaysia, untuk semua masyarakat di dunia yang ambil kisah tentang keharmonian, dan kesejahteraan setiap umat manusia dalam apa jua agama,” katanya. – UTUSAN ONLINE