Banjir: Pesawah rugi RM120,000 - Utusan Malaysia

Banjir: Pesawah rugi RM120,000

KAWASAN sawah di Paya Luboh, Melaka ditenggelami air banjir berikutan hujan lebat sejak kelmarin. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 35 pesawah di Paya Luboh, dekat sini kerugian hampir RM120,000 selepas kawasan sawah seluas 52 hektar ditenggelami air banjir ekoran hujan lebat yang melanda beberapa daerah di negeri ini, sejak kelmarin.

Ketua Unit Peladang Paya Luboh, Zahedan Udiniah Bahari berkata, hampir seluruh kawasan sawah di situ digenangi air hingga menenggelamkan anak padi yang ditanam sebelum Ramadan.

Beliau berkata, ini adalah kali kedua sawah mereka dilanda banjir dalam tempoh lima bulan.

“Banjir kali ini adalah paling teruk. Air melimpah hingga ke tengah jalan dan semua sawah yang diusahakan tenggelam.

“Pesawah pula baru menanam padi, ada yang tidak sampai sebulan dan ada sudah sebulan lebih. Habis musnah semua anak padi yang baru ditanam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zahedan berkata, malang bertimpa buat semua pesawah padi Paya Luboh yang mengalami kerugian dua kali dalam tempoh lima bulan.

Beliau mengakui, petani kini mula hilang arah untuk penanaman semula dengan memikirkan kos pembajakan dan benih.

Jelasnya, ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi dan segala kerugian itu terpaksa ditanggung seratus peratus oleh mereka.

“Bayangkan harga kos membajak adalah sebanyak RM160 bagi seekar (0.4 hektar). Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan peningkatan penularan pandemik Covid-19, susah pesawah untuk mencari modal,” ujarnya.

Kawasan tersebut sering dilanda banjir dipercayai kerana limpahan air dari Sungai Udang yang melalui sawah di Paya Luboh.

Sementara itu, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Jasin menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan PPS yang aktif menempatkan 669 mangsa banjir di negeri ini

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat pukul 4 petang semalam, berlaku peningkatan seramai 50 mangsa berbanding hanya 619 orang pagi semalam.

Beliau berkata, ini menjadikan terdapat enam PPS di Melaka Tengah, dua di Jasin dan satu di Alor Gajah.

Hujan lebat yang melanda Melaka kelmarin dan awal pagi semalam menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kawasan.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Indah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya