Warisan terus perkuatkan parti untuk hadapi PRU-15 - Mohd. Shafie

Warisan terus perkuatkan parti untuk hadapi PRU-15

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus memberi keutamaan untuk memperkuatkan parti bagi berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keutamaan Warisan ketika ini bukan untuk membentuk gabungan parti sebaliknya, ingin mengukuhkan lagi kedudukannya bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia. 

“Kita kena kukuhkan parti kita terlebih dahulu kerana tiada pihak mahu bekerjasama dengan parti yang lemah dan berpecah. 

“Apabila parti kita kuat dan mempunyai bilangan ahli parlimen yang ramai barulah parti ini akan dihormati dan disegani,” katanya dalam siaran langsung Facebook mengenai ‘Ke Mana Hala Tuju Politik Malaysia’, dekat sini semalam.

Bagaimanapun di peringkat negeri, Warisan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang yang mempunyai hala tuju perjuangan yang sama.

“Kita tidak boleh bersendirian, kena ada kerjasama kerana kita bukan sebuah parti yang besar. Dalam PRU akan datang, sekiranya diberi mandat, kita akan membentuk kerajaan melalui kerjasama ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai penggunaan logo, Ahli Parlimen Semporna ini berkata, penggunaan satu logo untuk bertanding dalam pilihan raya memberi kelebihan kepada parti. 

Katanya, ini terbukti semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah apabila Warisan dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan logo yang sama, undi diterima cukup tinggi.

Keadaan itu berbeza dengan parti lain yang menggunakan logo sendiri, di mana undi diterima berkurang. Penggunaan logo yang sama amat memudahkan penggundi.

Dalam PRU-14, Warisan Plus di Sabah memenangi 14 kerusi parlimen dan daripada jumlah itu, lapan kerusi dimenangi oleh Warisan, tiga kerusi DAP, dua kerusi PKR dan satu kerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya