Untuk sumbangan politik, bukan peribadi Ku Nan - Utusan Malaysia

Untuk sumbangan politik, bukan peribadi Ku Nan

TENGKU Adnan Tengku Mansor (kanan) tiba di Mahkamah Rayuan bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wang RM2 juta yang diterima bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah tujuan sumbangan politik dan bukannya untuk kegunaan peribadi.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan kepada Mahkamah Rayuan di sini hari ini menerusi hujahan dalam prosiding rayuan anak guamnya, Tengku Adnan terhadap hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hock Chuan berhujah, saksi ke-19 iaitu Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong sewaktu perbicaraan mengesahkan pembayaran RM2 juta itu adalah sumbangan politik selepas tertuduh memaklumkan UMNO memerlukan dana politik antara RM5-6 juta untuk dua pilihan raya kecil (PRK) iaitu Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Ia dibuktikan apabila saksi itu ketika disoal balas pihak pendakwaan yang jelas menyatakan bahawa cek dikeluarkan sebanyak RM2 juta untuk dana politik UMNO dan bukannya untuk perayu (Tengku Adnan),” katanya.

Sementara, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Musa berhujah, RM2 juta itu adalah untuk kepentingan Tengku Adnan sendiri dan bukannya sumbangan politik kerana ketiadaan rekod teratur berdasarkan resit diperoleh mengenai pemberian dana itu kepada UMNO.

Malah beliau juga berhujah, keterangan bahawa wang itu untuk sumbangan politik hanya timbul semasa pemeriksaan balas saksi keenam pendakwaan iaitu Ketua Pegawai Operasi Tadmansori, Datuk Mohd Hasbi Jaafar dan tidak pernah dimaklumkan kepada pegawai siasatan ketika siasatan berlangsung.

“Pendakwaan berhujah bahawa saksi ke-19 (Kin Kong) hanya dimaklumkan tujuan dana politik oleh tertuduh tetapi tidak tahu sama ada wang itu benar-benar digunakan sebagai dana politik,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Suraya Othman memaklumkan, pihaknya akan menetapkan tarikh lain untuk membuat keputusan terhadap rayuan Tengku Adnan dan panel hakim memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak.

“Setelah berbincang, kami memerlukan lebih masa untuk meneliti hujahan sebelum membuat sebarang keputusan. Kita akan maklumkan tarikh sebenar keputusan kepada pihak-pihak tetapi ia akan dibuat secepat mungkin,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Ahli Parlimen Putrajaya itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2020 yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta selepas dia didapati bersalah atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Mengikut jadual, sepatutnya rayuan kes itu didengar selama tiga hari iaitu bermula hari ini, esok dan Isnin depan namun mahkamah telah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 dengan ertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN