Solat tarawih, aktiviti mengimarahkan masjid dibenarkan di Pulau Pinang sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

Solat tarawih, aktiviti mengimarahkan masjid dibenarkan di Pulau Pinang sepanjang Ramadan

AKTIVITI mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih serta moreh dibenarkan dijalankan di Pulau Pinang sepanjang Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHAINPP) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih serta moreh.

Pengarahnya, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pelaksanaan semua aktiviti tersebut perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan garis panduan yang dikeluarkan untuk pelaksanaan aktiviti keagamaan pada Ramadan itu akan berkuat kuasa mulai 12 April ini.

Menurut beliau, solat tarawih dibenarkan dilakukan sebanyak 20 rakaat, namun bagi memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama pihak masjid dan surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat.

”Kadar bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti masjid dan surau manakala jemaah hendaklah berusia tujuh hingga 70 tahun sahaja serta berada dalam keadaan sihat.

“Bagaimanapun, tazkirah semasa solat sunat tarawih adalah tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, program qiamullail di masjid dan surau juga dibenarkan manakala bermalam di masjid adalah dilarang sama sekali.

“Aktiviti majlis ilmu seperti tadarus, solat Dhuha, kuliah Subuh dan sebagainya dibenarkan dengan jumlah jemaah yang ditetapkan sendiri oleh pihak masjid atau surau.

“Tenaga pengajar pula mestilah terdiri daripada yang memegang tauliah daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan pemaustatin negeri ini sahaja, manakala tenaga pengajar daripada luar negeri tidak dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau kariah masjid dan surau juga boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan berkenaan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Hidangan makan bertalam tidak dibenarkan dan makanan berbungkus amat digalakkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan dan kadar jemaah mengikut kapasiti masjid atau surau dengan jemaah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Aktiviti ziarah kubur sepanjang bulan Ramadan dan Syawal juga dibenarkan dengan kawalan kendiri manakala pengoperasian kaunter zakat fitrah di masjid juga dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya