PETALING JAYA: Kebenaran merentas negeri untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri perlu dibuat dengan berhati-hati berikutan liputan vaksinasi Covid-19 di negara ini masih terlalu kecil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpendapat, beberapa persoalan berhubung vaksin perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana merentas negeri melibatkan risiko penularan virus berkenaan.
“Belum cukup bukti saintifik yang kukuh bahawa vaksinasi Covid-19 boleh menghalang jangkitan dan penyebaran. Tambahan pula liputan vaksinasi dalam negara juga masih terlalu kecil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, kerajaan akan membuat keputusan sama ada akan memberi kebenaran rentas negeri sempena puasa dan hari raya sebelum 14 April ini.
Menurut beliau, ia bergantung kepada status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan sehingga 14 April ini selain status negeri-negeri lain yang akan diputuskan sebelum tarikh berkenaan.
Katanya, Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian risiko sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada masa sama, Dr. Zainal turut bimbang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu tidak dipedulikan memandangkan kelompok yang telah mengambil vaksin percaya mereka tidak akan dijangkiti wabak itu.
Bukan itu sahaja, kata beliau, malah akan wujud pihak yang tidak berpuas hati kerana ramai yang belum mendapat suntikan vaksin berkenaan.
“Pastinya rakyat teramai akan berasa tidak adil dan diskriminasi kerana mereka belum berpeluang mendapat vaksin walaupun sudah lama mendaftar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










