Muhyiddin seru hayati hikmah isi kandungan al-Quran

PM seru hayati hikmah isi kandungan al-Quran

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam untuk mengingati Nuzul al-Quran dengan menghayati hikmah peristiwa dan isi kandungan keseluruhan al-Quran.

Perdana Menteri kemudian mengajak umat Islam agar meluangkan lebih banyak masa membaca dan memahami intipati al-Quran yang antara mengajak untuk melakukan amal soleh.

Katanya, detik 17 Ramadan merupakan hari memperingati Nuzul al-Quran iaitu peristiwa kitab suci umat Islam dan mukjizat terbesar dikurniakan Allah kepada Rasulullah untuk menjadi ikutan umat Islam diturunkan kepada manusia. 

“Al-Quran merupakan sumber ilmu, hidayah serta panduan untuk kita menjalani kehidupan di dunia. Membaca, mengamal dan menyebarkan kandungan al-Quran untuk manfaat manusia adalah tanda kita mencintai al-Quran.

“Di bulan Ramadan mulia ini, marilah kita bersama- sama menghayati hikmah yang terkandung pada peristiwa ini dan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya. Luangkanlah lebih banyak masa membaca dan memahami intipati al-Quran yang antara lain mengajak kita melakukan amal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin mendoakan dan berharap umat Islam di negara ini khasnya dan di seluruh dunia dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Sementara itu, beliau menerusi kenyataan di dalam Facebook berkata, beliau turut berkesempatan mengikuti tazkirah disampaikan tokoh agama, Datuk Badli Shah Alaudin mengenai mukjizat al-Quran sewaktu menunaikan solat sunat tarawih berjemaah bersama para menteri, timbalan menteri dan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam di Kuala Lumpur semalam.

“Alhamdulillah, pada malam Nuzul Quran ini saya dan isteri berpeluang menunaikan solat sunat tarawih berjemaah bersama menteri, timbalan menteri dan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

“Semoga amalan baik kita semua mendapat pahala dan diterima oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin seterusnya meminta umat Islam di negara ini untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan dan menjauhi segala kemungkaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya