Peniaga berputih mata ditipu pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Peniaga berputih mata ditipu pelaburan tidak wujud

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Hasrat seorang peniaga di sini untuk menjadi kaya dalam sekelip mata lebur berkecai apabila wang simpanannya berjumlah RM154,477 lesap akibat ditipu sindiket pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa menyertai pelaburan tersebut selepas menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada seorang wanita yang juga kenalannya pada 29 Mac lalu. 

Katanya, suspek memberitahu mangsa yang dia akan mendapat keuntungan 10 peratus daripada jumlah pelaburan sekiranya menyertai skim tersebut. 

“Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa telah mendaftar di laman web pelaburan  tersebut dengan membuat pelaburan pertama sebanyak RM500 di mana dia terus mendapat keuntungan sebanyak RM50 pada hari sama. 

“Dia juga meneruskan pelaburan kedua berjumlah RM5,000 dengan keuntungan RM532, keesokan harinya.

“Disebabkan berasa yakin, mangsa telah menambah lagi pelaburan sebanyak RM154,477 melalui 22 transaksi di dua akaun bank berbeza milik suspek dari 31 Mac hingga 12 April lalu,” katanya.

Menurut beliau, setelah kesemua wang dimasukkan, suspek masih menyuruh mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank sama sedangkan dia tidak mendapat pulangan wang yang dijanjikan. 

Katanya, mangsa juga diminta lagi untuk memasukkan wang RM4,577 ke dalam akaun bank suspek bagi menambahkan keuntungan. 

“Mangsa mahu mengeluarkan semula wang pelaburannya namun pegawai khidmat pelanggan laman web itu meminta dia membuat pembayaran cukai ekoran wang yang mahu dikeluarkan itu terlalu banyak.

“Mangsa yang cuba menghubungi wanita itu semalam, mendapati nombor telefon yang digunakan tidak lagi aktif dan dia segera membuat laporan polis berhubung kerugian dialaminya,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa hanya mengenali suspek menerusi Whatsapp dan sering menerima iklan pelaburan daripada wanita itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya