Malaysia-China tubuh Jawatankuasa Peringkat Tinggi perkukuh kerjasama - Utusan Malaysia

Malaysia-China tubuh Jawatankuasa Peringkat Tinggi perkukuh kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat julung kali, Malaysia dan China memeterai Memorandum Persefahaman Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi mempromosikan kerjasama era pasca Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, memorandum yang pertama seumpamanya itu bagi Malaysia bakal memacu landskap baharu dalam hubungan dua hala.

“Saya berasa amat berbangga untuk mengumumkan banyak keputusan penting dicapai dan memorandum ini lebih fokus secara spesifik terhadap kerjasama pasca pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bersama dengan Menteri Luar China, Wang Yi selepas melakukan lawatan rasmi sulung ke negara itu di Fujian, semalam.

Susulan pemeteraian memorandum itu ujarnya, mereka bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Tahap Tinggi yang bakal dipengerusikan bersama oleh kedua-dua menteri luar berkenaan.

Jawatankuasa itu katanya, memperkukuhkan hubungan dwihala dalam pelbagai aspek seperti perdagangan, pelaburan, keselamatan makanan, komoditi, sains, teknologi serta inovasi.

Hishammuddin menambah, usaha itu bakal diperkukuhkan menerusi lawatan timbal balas yang dirancang antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke China dan sebaliknya.

“Saya juga berterima kasih kepada Presiden Xi Jinping dalam isu bekalan vaksin keluaran China, SinoVac dan CanSino malah sedia pertimbang penambahan stok baharu,” katanya.

Ini katanya, disusuli pengiktirafan bersalingan pensijilan digital vaksinasi atau seumpama sijil kesihatan Covid-19 bagi membolehkan pergerakan rentas negara dalam masa terdekat.

Pada masa sama, perbincangan mereka turut menyaksikan China bersetuju menambah import minyak sawit Malaysia sehingga tahun 2023 yang melibatkan pembelian 1.7 juta tan.

Beliau juga berbesar hati apabila China memberi komitmen untuk membuka segmen pasaran negara itu menerima minyak sawit merah Malaysia yang pertama seumpamanya di dunia.

“Jawatankuasa dibentuk dua negara itu turut menekankan bidang keselamatan makanan bagi memastikan rantaian bekalan sejagat mampan melalui jaminan akses yang cukup,” katanya.

Menyentuh isu perdagangan, Perdana Menteri China, Li Keqiang menzahirkan minat terhadap usaha pewujudan hub automotif yang bersepadu di Pagoh, Johor dan Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, mereka juga bersepakat memuktamadkan prosedur operasi standard bagi perjalanan rentas sempadan melalui skim laluan hijau timbal balas.

Pelaksanaan itu membolehkan penuntut Malaysia kembali menyambung pengajian di China selain dapat menyatukan semula ramai keluarga yang terpisah sebaik sempadan dibuka.

Menerusi perbincangan yang lebih mendalam, Malaysia katanya turut menegaskan sokongan terhadap inisiatif Satu Jalur Satu Jalan yang bakal memberi manfaat besar ekonomi.

“Malaysia turut bertukar pandangan dalam isu sejagat antaranya situasi di Myanmar, kemelut Laut China Selatan dan ulang tahun ke-30 Dialog ASEAN-China 2021,” kata beliau.

Hubungan diplomatik Malaysia-China terjalin secara rasmi pada 1974 melalui lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak menemui pemimpinnya, Mao Zedong.

Ketika ini, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan yang dicatatkan kedua-dua negara pada sepanjang tahun lalu berjumlah RM329.7 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya