Lebih 6,000 graduan UKM bakal terima ijazah secara fizikal

Lebih 6,000 graduan UKM bakal terima ijazah secara fizikal

MOHD. EKHWAN TORIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 6,166 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menerima ijazah pada majlis konvokesyen UKM ke-48 yang akan diadakan secara fizikal bermula 3 hingga 12 April ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Mohd. Ekhwan Toriman berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas yang telah bersetuju untuk mengadakan majlis konvokesyen sebanyak 10 sidang secara bersemuka atau fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi tiada halangan terhadap pelaksanaan majlis konvokesyen itu dengan mengambil kira persediaan pihak UKM dalam mematuhi SOP yang ditetapkan serta arahan semasa oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Keputusan ini dibuat bagi menyantuni permintaan para graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2020 untuk bergraduasi secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, UKM hanya akan menggunakan kapasiti 25 peratus daripada ruang dewan yang boleh memuatkan 4,000 orang pada satu-satu masa, memandangkan negeri Selangor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan majlis dianjurkan dengan kapasiti 50 peratus.

“Oleh itu, hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada dalam dewan tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau keluarga. Para ibu, bapa dan keluarga yang mengiringi dan menghantar graduan tidak dibenarkan berada di sekitar dewan, sebaliknya digalakkan menunggu di luar kampus UKM sebelum masuk semula ke kampus apabila majlis selesai,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd. Ekhwan berkata, ibu bapa dan keluarga masih boleh menonton majlis konvokesyen itu secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM, saluran Youtube rasmi UKM, malah pautan siaran langsung juga boleh diperolehi dari laman web rasmi konvokesyen UKM menerusi www.ukm.my/konvo.

Di samping itu, menurut Mohd. Ekhwan, semua graduan, ahli akademik dan petugas yang berada dalam dewan perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa termasuk ketika mengambil skrol di atas pentas.

“Semua graduan dan urus setia perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan (HDF) sebelum dibenarkan hadir ke majlis konvokesyen. Mereka yang suhunya melebihi 37.5 celsius dan bergelaja akan dirujuk kepada pusat kesihatan UKM untuk penilaian risiko sebelum dibenarkan meneruskan konvokesyen,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan, majlis konvokesyen akan hanya diadakan satu sidang untuk satu hari sahaja, iaitu di sebelah pagi dengan tempoh maksimum setiap sidang adalah tiga jam bagi mengelakkan pertembungan sekiranya diadakan dua sidang pada satu hari, malah tidak akan ada sebarang karnival konvokesyen diadakan di luar dewan seperti sebelum ini.

Pada masa sama, Mohd. Ekhwan berkata, pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit telah menyediakan SOP untuk majlis konvokesyen UKM dan soalan lazim (FAQ) rasmi berkaitan pelaksanaan majlis untuk para graduan dan ia boleh dirujuk melalui laman web https://www.ukm.my/konvo/en/.

“Graduan yang memerlukan isolasi dan penginapan akan dibantu oleh pihak kolej kediaman. Mereka akan ditempatkan di penempatan yang berasingan dengan pelajar semasa yang telah berada di kolej kediaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya