Kiosk bergerak salur info kolej komuniti - Utusan Malaysia

Kiosk bergerak salur info kolej komuniti

HARYATY Hamdzah (kiri) melihat Munira M. Yusop (tengah) meletakkan hiasan biskut pada Majlis Ramah Mesra Program Ceria Cookies di Kolej Komuniti Kota Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua kiosk bergerak akan diwujudkan bertujuan untuk menyalurkan maklumat berkaitan peluang pendidikan di Kolej Komuniti Kota Melaka khusus untuk golongan sasar.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah berkata, kiosk tersebut berfungsi sebagai medium perantara dalam meningkatkan kesalinghubungan komunikasi antara pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, ia akan ditempatkan di sekitar kawasan tumpuan awam seperti perkampungan dan pasar malam.

“Tahun ini kami menyasarkan dua kios bergerak dahulu sebelum ditambah pada masa akan datang. 

“Saya melihat kemudahan seumpama ini mampu menarik lebih ramai orang untuk datang ke kaunter yang disediakan bagi mendapatkan sendiri maklumat daripada tenaga pakar kolej komuniti mengenai kursus jangka pendek serta program-program yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Program Ceria Cookies di Kolej Komuniti Kota Melaka di sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Munira M. Yusop dan Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka, Haslinda Mohd. Salleh.

Pada program itu sebanyak 250 balang biskut telah dihasilkan dalam tempoh tiga hari melibatkan 93 tenaga kerja terdiri daripada kakitangan serta pelajar kolej.

Dalam pada itu, Haryaty yang juga panel kolej berkenaan menambah, buat masa ini terdapat tiga program yang ditawarkan iaitu Sijil dan Diploma Dandanan Rambut serta Sijil Terapi Kecantikan dan Spa.

“Program-program yang ditawarkan sangat dekat dengan jiwa anak-anak muda masa kini dan kami optimis kios bergerak tersebut akan menjadi inisiatif terbaik untuk menarik lebih ramai golongan muda menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN