Keputusan kuota haji Malaysia minggu depan - Utusan Malaysia

Keputusan kuota haji Malaysia minggu depan

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (dua dari kiri) dan Ibrahim Ahmad (tengah) menyerahkan buah kurma kepada pegawai tadbir agama, Murshidi Abdul Hamid di Masjid Mahmoodiah Presint 18, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah sebenar kuota bakal jemaah haji Malaysia dijangka dimuktamad dalam pertemuan susulan dengan kerajaan Arab Saudi di Riyadh sebelum Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau akan menerima angka sebenar yang ditetapkan ketika berkunjung ke negara itu pada 9 April ini.

“Berkenaan isu kuota (bakal jemaah haji Malaysia pada musim ini), perkara itu kita hanya akan tunggu keputusan rasmi terus daripada pihak sebelah sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral Dari Kumpulan Brahim’s Dewina di Masjid Mahmoodiah, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan sudah memeterai beberapa memorandum persefahaman dengan negara itu.

Antaranya proses praperlepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia seperti dilaksanakan pada musim haji 2019 di tanah air tanpa perlu lagi melalui pemeriksaan ketat di Arab Saudi.

Malaysia awal tahun lalu berjaya menerima kuota rasmi tambahan kepada 31,600 orang tetapi penghantaran ditangguhkan apabila kerajaan Arab Saudi bertindak menutup sempadannya.

Awal tahun ini negara itu memaklumkan sedia pun menerima jemaah haji dari seluruh dunia dengan protokol kesihatan paling ketat termasuk sudah divaksin bagi mengekang kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pertemuan susulan ini lebih kepada memperincikan segala isu berkait dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan menteri di sana.

“Saya berharap perjumpaan itu dapat menoktahkan kejayaan dalam memorandum yang telah dibuat dan hubungan dua negara lebih mesra serta kukuh demi kemajuan ummah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya