Keputusan kes dua pengarah termasuk seorang bergelar Datuk ditangguh 11 Mei - Utusan Malaysia

Keputusan kes dua pengarah termasuk seorang bergelar Datuk ditangguh 11 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 11 Mei ini bagi perkembangan kes dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk yang tular dalam pergaduhan di sebuah restoran di
Tropicana Avenue, Damansara, tiga bulan lalu.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menangguhkan keputusan ke tarikh lain selepas dimaklumkan bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.

Sepatutnya mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Tan Wai Khan, 42 dan rakannya Ang Mow Loong, 40, yang mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan kacau ganggu di sebuah restoran, Januari lalu.

Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan pihaknya menerima maklumat bahawa pemilik restoran dalam kejadian itu telah menarik balik aduan berhubung tuduhan yang dikenakan terhadap Wai Khan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ketika didakwa, Wai Khan mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan cara memecahkan pinggan mangkuk milik Kwan Pei Choong, 31.

“Memandangkan terdapat perkembangan baharu, saya mohon mahkamah memberi peluang agar pertuduhan tersebut (Seksyen 427) dikaji semula.

“Pihak kami juga berharap dokumen berkaitan dapat diberi supaya saya dapat meneliti pertuduhan ke atas anak guam saya, sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Ketika prosiding, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab berkata, pihaknya memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan arahan lanjut.

Mengikut pertuduhan, Wai Khan dan Mow Long didakwa secara bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul Pei Choong, 31, di Restoran Steamboat TST, Tropicana Avenue, Damansara pukul 9 malam, 12 Januari lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
.
Bagi pertuduhan berikutnya, mereka didakwa bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja pada tempat dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya