PETALING JAYA: Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tidak sepatutnya digunakan sesuka hati meskipun bagi tujuan memperoleh vaksin dan membiayai perbelanjaan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali menyifatkan, tindakan kerajaan itu sudah tentu menimbulkan tanda tanya kerana ia tidak pernah digunakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Kalau nak kata kerajaan tidak ada duit, boleh jadi sebab mungkin ada perbelanjaan yang perlu ditampung. Bajet untuk vaksin sudah ada, tapi kita tidak tahu kos sebenar operasi yang ditanggung kerajaan ketika ini.
“Kalau betul tidak ada duit, kerajaan kena buat pinjaman dan ada banyak pilihan. Tapi tak boleh pinjam pihak lain ke sampai kena pinjam KWAN? Ini duit negara, tapi kita nak tahu juga ia untuk kegunaan apa. Mungkin perkara ini patut dibincangkan di Parlimen, kerana setakat ini belum ada justifikasi terhadap tindakan tersebut,” katanya.
Beliau mengulas tindakan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana untuk memperoleh vaksin dan perbelanjaan program imunisasi.
Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM3 bilion untuk perolehan vaksin, sebelum ditambah lagi RM2 bilion melalui pakej Pemerkasa bulan lalu.
Bagaimanapun, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, kerajaan kemungkinan berhasrat mempercepat proses penvaksinan kerana berdasarkan kadar pembeliannya ketika ini, ia menjadi lebih giat pada Jun ini.
“Walaupun sudah menerima peruntukan dari Belanjawan 2021 dan Pemerkasa, kerajaan mungkin mahu cepatkan proses penvaksinan lebih awal lagi. Jangkaan 80 peratus populasi divaksin sekarang ini sekitar Oktober dan November.
“Mungkin dengan pembelian lebih banyak vaksin, matlamat 80 peratus divaksin tercapai lebih awal,” katanya di sini semalam.
Pada masa sama, Razman juga berpandangan kerajaan mahu bersiap sedia dengan gelombang keempat penularan wabak Covid-19.
Namun, Razman menyifatkan pengeluaran wang tersebut tidak menjejaskan KWAN pada masa akan datang. – UTUSAN











