Geng Apir tumpas - Utusan Malaysia

Geng Apir tumpas

AFZANIZAR Ahmad (tengah) menunjukkan tayar motosikal yang turut dirampas dalam penangkapan Geng Apir di IPD Melaka Tengah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Geng Apir yang aktif menjual motosikal curi kepada rakan serta saudara-mara tumpas selepas polis berjaya memberkas sembilan suspek termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini.

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan dibuat selepas pasukannya berjaya mendapatkan petunjuk hasil laporan dibuat seorang pengadu yang kehilangan motosikal jenis Yamaha RXZ pada pukul 12.10 pagi, hari sama di Kampung Lapan, di sini.

“Bertindak atas maklumat, pasukan JSJ IPD Melaka Tengah dengan bantuan pasukan Balai Polis Malim telah melakukan beberapa siri serbuan Op Lejang di sekitar Melaka Tengah bermula pukul 1 pagi.

“Hasil serbuan, kita berjaya memberkas lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun iaitu teman wanita kepada dalang kumpulan ini yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi kumpulan dikenali sebagai Geng Apir itu adalah menjual motosikal yang dicuri kepada rakan-rakan dan saudara-mara terdekat.

“Dalang kumpulan ini bernama Fakrie yang berusia 23 mengakui telah menjalankan kegiatan tersebut bersama konco yang lain di kawasan Malim, Tengkera dan Batang Tiga, sejak awal tahun ini.

“Dia mendakwa kesemua motosikal dicuri dijual kepada rakan dan saudara-mara terdekat bagi mengelak kegiatan dihidu pihak polis,” ujarnya.

Jelasnya, penahanan kumpulan itu sekaligus berjaya menyelesaikan 14 kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini.

Tambahnya, dalam serbuan dilakukan, pasukannya turut merampas 10 buah motosikal antaranya jenis Yamaha 135 LC, Honda EX5 dan Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang di Kampung Lapan serta sebuah kenderaan dengan anggaran keseluruhannya bernilai RM36,000.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN