Gagal seludup lembu lepas waktu bersahur - Utusan Malaysia

Gagal seludup lembu lepas waktu bersahur

PGA Batalion 7 menggagalkan cubaan menyeludup lapan ekor lembu di Kampung Tok Rusa, Meranti, Pasir Mas Kelantan. - IHSAN PGA 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Cubaan seorang lelaki menyeludup lapan ekor lembu selepas waktu sahur gagal apabila dia dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di Kampung Tok Rusa, Meranti pagi ini.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah lori dalam keadaan mencurigakan pada pukul 6.45 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA yang melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut mengarahkan pemandu lori memberhentikan kenderaan itu untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori sambil disaksikan oleh pemandu lori itu telah membawa kepada penemuan lapan ekor lembu.

“Anggota yang bertugas meminta lelaki berkenaan mengemukakan dokumen perjalanan bagi pemindahan lembu-lembu tersebut namun dia gagal berbuat demikian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Azhari memberitahu, kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM76,660.

“Hasil siasatan awal, lelaki tersebut mengaku memindahkan sendiri lembu-lembu tersebut dari tepi Sungai Golok sebelum mengheret haiwan itu naik ke atas lori untuk dihantar kepada peraih,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan di Jalan Pak Keral, di sini, PGA Batalion 7 berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 4,200 peket tepung beras dari Thailand menggunakan lori dan menahan pemandunya yang berusia 52 tahun kira-kira pukul 7.20 pagi ini.

Menurut Azhari, nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan mencecah RM35,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Siasatan awal mendapati suspek membawa barangan itu yang diseludup masuk menerusi salah satu pangkalan haram yang ada di tebing Sungai Golok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya