Elak pertembungan jika mahu buktikan MN kukuh - Noh Omar

Elak pertembungan jika mahu buktikan MN kukuh

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO dan Pas digesa mengelakkan pertembungan sewaktu pilihan raya umum sekiranya masing-masing ingin membuktikan iltizam perpaduan Melayu-Islam seperti termaktub dalam piagam Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, MN yang dimeterai sebelum ini telah menggariskan bahawa kedua-dua parti tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi daripada berlaku persaingan tiga penjuru sehingga memberi peluang kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Walau apa jua yang akan berlaku, kalau betul-betul kita hendak perpaduan Melayu-Islam, prinsip kita khususnya di Selangor iaitu UMNO dan Pas jangan bertembung dalam pilihan raya.

“Kalau UMNO hendak bertembung dengan parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu urusan kita, orang lain jangan campur tangan. 

“Tetapi secara umumnya seperti dalam MN, UMNO tidak akan letak calon di kerusi Pas manakala Pas pula tidak letak calon di kerusi UMNO. Kalau ini tercapai, barulah perpaduan Melayu berjaya dan akhirnya mendapat kemenangan besar pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesin Percetakan UV Digital Botol Anggun di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi bayangan akan meninggalkan MN kerana mendakwa ia sudah menyeleweng dari matlamat asas sebaliknya meminta semua menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata kenyataan Presidennya bukan bermaksud untuk menolak MN yang disertai UMNO sebaliknya merujuk kepada muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal gagasan politik itu.

Ketika ditanya sama ada UMNO meletakkan calon sekiranya Pas menggunakan logo PN, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang enggan mengulas perkara tersebut kerana ia merupakan urusan parti tersebut.

Sebaliknya beliau menjelaskan MN dibentuk sebelum penubuhan PN telah membuat ketetapan lebih awal bahawa masing-masing akan memastikan untuk elak pertembungan kerusi.

“Asalkan Pas dengan lambang bulan dan meletakkan calon, kita tidak akan bertanding di kerusi itu dan begitu juga dengan UMNO. Ini ketetapan yang dibuat lebih awal sebelum tertubuhnya PN.

“Mengapa MN mahu elak pertembungan, kerana tidak mahu perpecahan dan sekali gus memberi ruang kepada pengundi memilih satu parti Melayu sahaja iaitu antara UMNO dan Pas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya