KOTA BHARU: Api permusuhan ditiupkan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung UMNO semalam disifatkan sebagai tindakan tidak ‘cantik’, lebih-lebih lagi dilakukan menjelang malam Nisfu Syaaban.
Naib Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau kesal apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengesahkan hubungan dengan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) tidak diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Lebih dikesalkan, kata beliau, perkara itu dibuat ketika kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertungkus-lumus melawan ancaman Covid-19 di seluruh negara.
“Kalau selalu bercakap tentang politik nanti orang jemu, sebab itu saya lebih suka mengajak rakyat, golongan wanita terutamanya kalau ada peluang berniaga, pergilah berniaga supaya dapat tambah pendapatan.
“Inilah yang patut difikirkan pemimpin politik, bukannya meruntuhkan perpaduan, lebih-lebih pada waktu petang nak masuk malam Nisfu Syaaban. Saya nampak tidak berapa cantik namun kita berlapang dada dan menerima perkara itu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditemui pemberita selepas merasmikan Sriwanis Shop milik Koperasi Warga Kubang Kerian Kelantan Berhad di Kampung Padang Mengkali, di sini hari ini.
Terdahulu ketika berucap, Mas Ermieyati berkata, sehingga Jun 2020, sebanyak 14,688 koperasi didaftarkan di negara ini namum penyertaan usahawan wanita dalam koperasi amat rendah berbanding lelaki, iaitu 1.7 peratus sahaja.
Beliau berkata, kementerian itu melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa proaktif membantu koperasi melalui inisiatif baharu bagi berdepan kelembapan operasi perniagaan.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sehingga kini, kerajaan telah meluluskan peruntukan mencecah RM1 bilion membantu semua koperasi yang berdaftar di seluruh negara.
“Kementerian bersama SKM terus memberi fokus kepada usaha memastikan gerakan koperasi menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi negara, ” ujarnya. – UTUSAN ONLINE