SHAH ALAM: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa tiada perancangan untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik dalam masa terdekat di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, dekat sini.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kesulitan yang dihadapi penduduk pangsapuri tersebut berikutan ketiadaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi pengurusan bayaran selenggara seperti dilaporkan.
“Kita mengambil maklum usaha penduduk mencari jalan penyelesaian menerusi usaha penubuhan JMB serta mendapatkan hak milik strata dan Sijil Layak Menduduki (CF).
“Oleh demikian, dalam masa terdekat, TNB tiada perancangan untuk memotong bekalan elektrik ke pangsapuri Seri Perantau,” katanya.
Sementara itu, TNB memaklumkan, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya mendapati jumlah tunggakan hanya kira-kira RM2.6 juta dan bukannya RM4 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pelabuhan Klang akan menemui wakil penduduk untuk mencari penyelesaian bil elektrik penduduk yang tertunggak,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, selepas isu berhubung CF dan hak milik strata, penduduk Pangsapuri Seri Perantau berdepan pula dengan risiko bekalan elektrik akan dipotong TNB.
Risiko itu bakal dihadapi kira-kira 10,000 penghuni di 12 blok pangsapuri tersebut yang bakal bergelap apabila selepas bil elektrik pukal mempunyai tunggakan RM4 juta.
Bil elektrik tersebut tertunggak sejak tiga tahun lalu setelah JMB sudah tidak wujud lagi secara rasmi di pangsapuri tersebut.
Permasalahan bil elektrik ini berpunca daripada masalah melibatkan CF dan isu geran strata sehingga memberi kesan JMB atau syarikat pengurusan tidak dapat ditubuhkan sehingga bil elektrik melambung tinggi kerana tiada pihak yang mengutipnya secara sistematik. – UTUSAN ONLINE