Projek Glomac mendahului jadual - Utusan Malaysia

Projek Glomac mendahului jadual

GAMBARAN projek 121 Residences mengikut ilustrasi artis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun berhadapan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19, projek bangunan bertingkat tinggi Glomac Berhad di sini tetap berjalan lancar dan berada tepat dalam landasannya.

Malah, dua projek tersebut, Plaza@Kelana dan 121 Residences ketika ini mendahului jadual dari segi peringkat penyiapan selama beberapa hari.

Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib berkata, prestasi luar biasa tersebut adalah hasil kerja keras pasukan projeknya dan kontraktor rakan perniagaan yang telah bekerjasama dengan tekun serta konsisten dalam mengatasi pelbagai halangan yang timbul kerana pandemik.

“Matlamat kami adalah untuk menyampaikan produk kepada pemilik rumah tepat pada masanya. Kami percaya bahawa semua orang terkesan dengan Covid-19 dan (ia memberi) kesan (terhadap) kewangan yang berterusan.

“Penyampaian hartanah kepada pembeli-pembeli rumah tepat pada masanya akan dapat mengurangkan tekanan kewangan terhadap pembeli yang merupakan pembeli rumah pertama yang sedang menunggu untuk mendiami rumah baharu mereka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

121 Residences merupakan projek pangsapuri servis yang dilancarkan pada Ogos 2019. Ia terdiri daripada dua menara 32 tingkat yang terletak di tanah seluas 1.25 hektar di antara Petaling dengan Damansara.

Bangunan tersebut menawarkan 834 unit SOHO berkeluasan 450 kaki persegi dan pangsapuri servis berkeluasan 750 kaki persegi dengan harga bermula dari RM333,000 ke atas.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM327 juta itu setakat ini telah mencapai 75 peratus kadar pengambilan.

Sementara itu, Plaza@Kelana yang mula dibangunkan pada 2015 pula terletak di lokasi strategik sepanjang Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan mempunyai keluasan 1.3 hektar.

Projek pembangunan bercampur pegangan bebas yang dijangka siap tahun hadapan itu mempunyai kadar pengambilan sebanyak 83 peratus dan mempunyai GDV RM347 juta.

Ia merangkumi 696 unit pangsapuri servis dan SOHO serta mempunyai 16 unit pejabat kedai tiga tingkat. Harga pangsapuri servis yang ditawarkan bermula dari RM388,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya