Sesungguhnya kita hanya mampu merancang manakala keizinan terlaksana atas tiap-tiap perkara tersebut tetap milik Tuhan. Itulah ayat yang sepadan menggambarkan situasi penyanyi, Ayu Damit.
Segala perancangan disusun atur sebaik-baiknya dalam memastikan kanvas seninya terus berwarna. Bagaimanapun masih ada yang tertangguh dan ada pula yang tidak menjadi sebagaimana diharapkan.
Biarpun buah tangan baharunya berjudul Permata yang dilancarkan akhir Januari lalu seakan-akan kurang mendapat sambutan, namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangat anak jati kelahiran negeri dibawah bayu, Sabah itu. Malahan, dia tekad untuk terus konsisten menghasilkan karya.
“Sebenarnya saya nak orang di luar sana tahu yang saya ini sebagai penyanyi masih lagi aktif, tak mahu nanti orang cakap hilang. Disebabkan berkemungkinan akan adanya nanti timbul persepsi seumpama itu saya teruskan juga dengan menghasilkan karya terbaharu.
“Lagu Permata ini agak mendalam maksudnya dan perlu didengari selalu supaya orang dapat fahami bait-bait lirik yang dibawakan dalam lagu itu,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 32 tahun ini juga turut menzahirkan terima kasihnya kepada semua peminat, media dan stesen radio yang sentiasa menyokong karier seninya.
“Alhamdulillah single ini sudah mendapat tempat di rangkaian stesen radio RTM dan saya berharap perkara sama akan berlaku juga di stesen radio swasta yang ada.
“Apa yang buat saya lebih gembira dan terharu apabila jumlah tontonan lirik video lagu ini di saluran YouTube Saudagar Seni (penerbit) mencecah 14,000 dan itu lebih tinggi daripada jumlah pelanggan atau pengikut mereka.
“Jadi dari situ saya dapat lihat, penonton adalah peminat yang betul-betul menyokong saya dan lagu Permata,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan seni selepas Gegar Vaganza musim ketujuh, Ayu memberitahu, dia kembali mendapat pelbagai tawaran persembahan dan penampilan aktiviti seni. Pun begitu, disebabkan situasi Covid-19, segalanya tertangguh dan dibatalkan.
“Kalau nak kata saya kecewa… mungkin ada juga sedikit, tapi saya tidaklah mahu menjadikan sebagai asbab tiada semangat untuk terus berkarya.
“Sementara pembabitan seni tertangguh, saya rasa ada hikmah baik lain di mana saya dapat fokus pada perniagaan saya di restoran dan kerja-kerja pertanian sebelum ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ayu turut mengucap kalimat Alhamdulillah kerana wang simpanan sedikit pun tidak terusik meskipun menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Itu yang saya syukuri sangat. Hanya satu sahaja yang saya fikirkan apabila buat simpanan wang, anak. Saya tak mahu anak-anak rasa kesusahan yang telah dilalui dulu. Cukup mereka merasakan kehidupan yang serba sederhana, walaupun tidak mewah,” akhirinya.










