BALIK PULAU: Pengendali jet ski yang dikhuatiri lemas di perairan Monkey Beach, Taman Negara Teluk Bahang, di sini semalam dikatakan terjatuh ketika cuba membantu dua pelanggan mereka yang jatuh ke dalam laut semasa menaiki jet ski di kawasan perairan berkenaan.
Difahamkan mangsa, Mohammad Asrul Aswad, 23, yang ternampak kejadian berkenaan cuba menyelamatkan dua pelanggan berkenaan sebelum turut terjatuh daripada jet ski itu.
Sepupu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anita Awang, 30, berkata, dia yang tinggal di Sungai Ara dekat sini dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi saudaranya petang semalam.
“Saya terkejut dengan kejadian yang menimpa sepupu saya, dia memang telah lama bekerja sebagai pengendali jet ski dan mahir berenang.
“Kami berharap dia segera ditemui dalam apa juga keadaan, kami dimaklumkan dia terjatuh ketika sedang cuba membantu pelancong di perairan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Taman Negara Teluk Bahang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.07 petang semalam, Mohammad Ashrul dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada jet ski di kawasan perairan Monkey Beach. – UTUSAN ONLINE