Pemandu Waja didakwa cuba bunuh polis - Utusan Malaysia

Pemandu Waja didakwa cuba bunuh polis

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, semalam ekoran kejadian rempuhan dua kenderaan dan cuba melanggar anggota polis di Sungai Buloh, minggu lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu kereta Waja yang merempuh dua kenderaan dan cuba melanggar anggota polis di Sungai Buloh, minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Turut didakwa ialah rakannya yang berada di dalam kenderaan terbabit yang mana insiden kejadian itu tular dalam media sosial.

Di Mahkamah Sesyen, Mustaza Mustaffa, 35, didakwa atas tuduhan cuba membunuh Koperal M. Amareisan dan Koperal Mohd. Edham Zakaria dengan cara mengundurkan kereta secara laju dan cuba melanggar dua anggota polis itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari, 26 Februari lalu di persimpangan lampu isyarat susur kiri, Jalan Kuala Selangor menghala ke Kepong, Damansara dekat sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada masa, tarikh dan tempat sama, Mustaza juga didakwa memliki sebilah kapak berhulu kayu dan dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, rakannya, Khairul Fazily Fadzil, 40, atau dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ didakwa berada bersama Mustaza ketika itu mempunyai senjata berbahaya dan dituduh mengikut Seksyen 5 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang turut memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dakwaan itu dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, Mustaza mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan empat buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Lexus, Myvi dan sebuah lori pada masa, tarikh dan tempat sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan dan didakwa mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mustaza dan Khairul Fazily juga bersama-sama didakwa atas pertuduhan menghalang anggota polis melakukan tugas mereka dan dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam dan Atifah Hazimah Wahab manakala Mustaza yang merupakan pekerja kedai makan diwakili peguam-peguam bela, Datuk Suraj Singh dan Datin Raj Preet Kaur.

Khairul Fazily yang bekerja sendiri tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM43,000 bagi kesemua pertuduhan manakala tiada jaminan ditetapkan buat Khairul Fazily memandangkan dia tidak mempunyai penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 April ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya