ALOR SETAR: Individu yang menerima kompaun maksimum RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 masih boleh dirayu dan hukuman terbabit boleh dikurangkan Pejabat Kesihatan Daerah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anggota polis yang mengeluarkan kompaun itu terpaksa menulis denda maksimum berkenaan kerana hukuman itu sudah diperuntuk mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, bagaimanapun individu yang melakukan kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka boleh mengemukakan rayuan dan mendapat pengurangan ketika mahu menjelaskan kompaun tersebut.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah menjelaskan beberapa kesalahan sahaja dikenakan denda RM10,000 termasuk kesalahan yang dilakukan orang sama berulang kali dengan polis ada rekod mereka ini.
“Selain itu, kesalahan yang melanggar SOP secara melampau seperti berkunjung ke kelab malam yang tidak pernah dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa juga boleh didenda maksimum, malah pemilik kelab malam boleh dikompaun RM50,000 jika melanggar arahan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian selepas menghadiri Program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melawat bekas anggota tentera, Md. Salleh Ahamad, 70, yang uzur di rumahnya di Jalan Masjid Seberang Pantai Johor di sini hari ini.
Hari ini, tular dalam media sosial seorang individu dikompaun maksimum RM10,000 kerana tidak mengimbas kod bar melalui aplikasi MySejahtera ketika berkunjung ke sebuah kedai di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan tidak berhasrat menjatuhkan denda yang terlalu berat ke atas rakyat yang melakukan kesalahan kecil sepanjang tempoh PKP terutama jika ia adalah kesalahan pertama.
“Tidak memakai pelitup muka kita anggap kesalahan kecil dan denda tidak akan sampai RM10,000, cuma dalam kertas saman polis terpaksa tulis hukuman denda adalah maksimum.
“Bagi Akta 342 ini denda maksiumnya adalah RM10,000 dan rayuan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah, maka ketika hendak bayar mereka boleh rayu dan kita percaya akan diberi pengurangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE