Nelayan jatuh ke laut ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Nelayan jatuh ke laut ditemukan lemas

MAYAT Mohd. Rizal Ismail ditemui terapung kira-kira 15 batu nautika di barat Tanjung Dawai, Kuala Muda dekat Yan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke laut sejak Jumaat lalu ditemukan lemas di perairan barat Tanjung Dawai dekat sini pada pukul 11.45 pagi, hari ini.

Mangsa, Mohd. Rizal Ismail, 34, dari Rumah Murah Fasa 2, Tanjung Dawai di sini ditemukan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu.

Jarak penemuan mangsa dengan tempat dipercayai terjatuh ke laut pada  Sabtu lalu ialah lebih kurang 15 batu nautika.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, ketika ditemui mayat mangsa lengkap berpakaian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar untuk proses pengecaman dan bedah siasat di Hospital  Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

“Kes dikelasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga sehingga keputusan hasil bedah siasat dikeluarkan,” katanya.

Menurut Shahnaz, sebaik penemuan mangsa, pihaknya menamatkan operasi SAR yang membabitkan seramai 30 anggota penyelamat terdiri daripada Maritim, Polis Marin Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Yan.  

Mangsa disedari hilang dipercayai jatuh ke laut oleh dua rakan sekerjanya selepas mereka selesai melabuhkan pukat di perairan Pulau Bidan dekat sini pada pada pukul 11 malam, Jumaat lalu.

Selepas melakukan pencarian dan gagal menemui mangsa, dua rakannya kembali ke daratan dan membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Dawai dekat sini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN