SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang mengenakan caj kepada kapal-kapal yang berlabuh atau ‘lay up’ di perairan Port Dickson dalam pembangunan projek industri maritim di daerah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, Selat Melaka yang diketahui sebagai laluan perdagangan utama menyebabkan banyak kapal mengambil kesempatan untuk berlabuh atau parkir termasuk di perairan Port Dickson tanpa sebarang bayaran.
Sedangkan menurut beliau, kapal-kapal itu boleh dikenakan caj berlabuh yang boleh dijadikan sumber pendapatan kepada negara.
“Kalau kita lihat kebanyakan kapal parkir tanpa sebarang bayaran dan di situ kita telah hilang jumlah yang cukup besar, ia berlaku kerana kita tidak wartakan kawasan perairan tersebut sebagai ‘lay up’ atau istilah perkapalan disebut sebagai kawasan meletakkan kapal.
“Kita hanya perlu mewartakannya, mereka kena bayar kepada kita tapi sekarang kita tidak caj sedangkan kapal-kapal ini ada peruntukan mereka untuk bayar parkir,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Jelas Mohamad Rafie, langkah untuk mengenakan caj tersebut juga secara tidak langsung membolehkan kerajaan untuk mengawal daripada berlakunya aktiviti pencemaran seperti tragedi tumpahan minyak yang berlaku di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson tahun lalu.
“Baru-baru ini apabila berlaku pencemaran tumpahan minyak, kita tidak tahu kapal yang mana (melakukannya) apabila ada pengawalan seperti ini, kita akan boleh mengawal keadaan,” katanya lagi.
Menurutnya, cadangan tersebut merupakan sebahagian perancangan pembangunan ekonomi kerajaan negeri dalam Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Industri Maritim Di Port Dickson yang terletak dalam Parcel D Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) Negeri Sembilan.
“Dalam pelan tersebut, kerajaan negeri juga cuba membawa Port Dickson menjadi lokasi terminal kapal persiaran berasaskan lokasinya strategik termasuk terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Selain itu, kita juga merancang mengambil kesempatan sibuknya Selat Melaka dengan menjadikan Port Dickson menjelang tahun 2030 menjadi lokasi membekalkan gas kepada kapal-kapal yang lalu, ini antara aktiviti maritim yang dalam perancangan,” katanya. – UTUSAN