Mykad bakal dinaik taraf tidak mudah dipalsukan - Hamzah

Mykad bakal dinaik taraf tidak mudah dipalsukan

HAMZAH Zainuddin (dua dari kanan) diiringi Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Perasmian Bas Mobile JPN di JPN Putrajaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 20 tahun diperkenalkan, MyKad bakal dinaik taraf dengan teknologi digital terkini lebih canggih sekali gus tidak mudah dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil memberi amaran kepada pemegang kad palsu itu bahawa mereka akan mudah dikesan selepas ini.

“Insya-Allah, JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) memang sudah ada perancangan untuk beralih kepada penggunaan program pendigitalan ID (dokumen diri) lebih canggih,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan sebanyak tiga buah bas ‘mobile’ JPN generasi baharu di pekarangan ibu pejabat jabatan tersebut di sini hari ini.

Walaupun tidak disebut secara spesifik, beliau merujuk pelbagai laporan media sebelum ini mengenai Mykad palsu bebas dibeli warga asing untuk menyamar sebagai rakyat Malaysia.

Terbaharu, Utusan Malaysia semalam melaporkan serbuan secara mengejut pihak Jabatan Imigresen di perkampungan pelarian etnik Rohingya terbesar di Bukit Malut, Langkawi, Kedah.

Dalam operasi itu, ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan memiliki MyKad tulen yang dibeli dengan harga ribuan ringgit daripada sindiket haram di pulau peranginan tersebut.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, proses pendigitalan MyKad itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti terus kesahihan kad berkenaan dengan lebih mudah dan pantas.

“Lepas ini, jika individu itu pergi ke bank untuk urusan tertentu, dia letak tangan di pengimbas dengan MyKad, pegawai di situ boleh tahu ia kad palsu kerana tiada rekod diri,” tegasnya.

Beliau menjangka pelaksanaan MyKad versi baharu itu akan diumum pada tahun ini juga dan memberi amaran keras kepada pemilik kad palsu supaya berwaspada sebelum ditangkap.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia menggunakan kad pengenalan berteknologi cip dan biometrik terkini dilancar secara rasmi pada 2001 dan distrukturkan semula pada 2012.

Bagaimanapun, kewujudan MyKad palsu yang bertindih dengan pemilik asal terutama ketika pilihan raya sebelum ini ternyata membimbangkan banyak pihak yang meragui kualitinya.

Menyentuh bas ‘mobile’ JPN itu, Hamzah berkata, program tersebut bermula dengan van pada 2002 menerusi pewujudan Unit Khas Bergerak di Sabah, Sarawak dan ibu pejabat Putrajaya.

Kemudian sebuah bas diwujudkan pada 2012 sebelum ditambah sebanyak tiga buah lagi pada 2014 dan terbaharu, tambahan tiga buah lagi dengan kelengkapan fasiliti yang paling moden.

“Jika sebelum ini, pemohon yang datang terpaksa datang seminggu kemudian kerana data itu diproses di pejabat, tetapi kini mereka cuma tunggu 30 minit untuk MyKad siap,” kata beliau.

Tiga buah bas baharu itu ujarnya, bakal memperkasakan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang merupakan aktiviti ‘turun padang’ JPN bertemu penduduk di kawasan terpencil.

Inisiatif itu sudah memberi impak positif apabila sehingga 31 Disember lalu, 680 program dibuat dengan lebih 12,206 permohonan diterima dan 1,293 khidmat nasihat diberikan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya