KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM15 juta kepada golongan yang terkesan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, Bantuan Musa’adah Tijariyah adalah bantuan baharu kepada mereka yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan sedia ada.
Katanya, seramai 5,000 penerima disasarkan untuk menerima bantuan tersebut.
“Pemohon hanya perlu memiliki sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang masih sah selama dua bulan, masih aktif dan dia layak untuk memohon.
“Kita alu-alukan kepada mereka yang baharu hendak memulakan perniagaan, bukan sahaja mereka yang telah lama,” katanya pada majlis pelancaran Program Transformasi Asnaf Jaya (Protaj) di Bangunan Perkim di sini hari ini.
Protaj merangkumi Bantuan Musa’adah Tijariyyah, kerjasama latihan kemahiran industri dan melahirkan ikon asnaf usahawan jaya.
Permohonan bantuan ini dibuka bermula hari ini sehingga 5 April secara dalam talian di laman web MAIWP atau menerusi kaunter Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Dalam pada itu, Mohd. Daud berkata, MAIWP menawarkan skim bantuan latihan kemahiran industri kepada anak-anak daripada keluarga asnaf.
Katanya, skim bantuan itu dilaksanakan dengan jalinan kerjasama enam pihak industri.
“Anak-anak asnaf menerima latihan terus daripada industri dan mereka diberi jaminan peluang pekerjaan setelah tamat latihan.
“Fokus kita untuk melahirkan seorang asnaf yang dahulunya menerima zakat supaya dapat menjadi pembayar zakat suatu hari nanti,” katanya. – UTUSAN