MAB masih penting untuk Malaysia - Utusan Malaysia

MAB masih penting untuk Malaysia

Khazanah tidak akan mempertimbangkan untuk mengurangkan pegangan dalam MAB. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik kerugian besar yang dialami sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) masih melihat Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai aset yang strategik dan penting untuk negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ia lebih jelas dalam situasi pandemik ketika ini yang mana tiada penerbangan dapat dilakukan syarikat lain, syarikat penerbangan nasional seperti MAB diperlukan untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia.

“(Ia diperlukan) untuk membawa masuk kargo-kargo berharga seperti vaksin (baru-baru ini) yang mana MAB berada di barisan hadapan untuk membawanya masuk ke Malaysia.

“Pelaburan yang dilakukan Khazanah dalam tahun-tahun yang akan datang untuk memastikan MAB terus bernyawa sehingga kita dapat (melaksa­nakan strategi) patah balik ialah sokongan yang diperlukan terhadap bahagian kritikal dalam ekonomi dan infrastruktur negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ulasan Tahunan Khazanah 2020 yang diadakan secara maya semalam.

 

Shahril Ridza Ridzuan

Menurut Shahril Ridza, pihaknya tidak dapat menjamin keberkesanan strategi patah balik yang akan dilaksanakan untuk MAB namun apa yang telah dilaksanakan Khazanah sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula MAB ialah berun­ding dengan berkesan dengan semua pemegang taruh yang terlibat.

“Sebelum Covid-19, ma­salah yang ada bukanlah hanya melibatkan MAB. Industri penerbangan Malaysia mempunyai masalah lebihan penawaran sejak sekian lama.

“Kita lihat laporan semua syarikat penerbangan yang bertapak di Malaysia, semua mengalami masalah lebihan penawaran dan kurang kuasa penentuan harga,” katanya.

Menurut Shahril Ridza, industri penerbangan dijangka pulih menjelang 2023 dan sehingga ia pulih, Khazanah tidak akan mempertimbangkan untuk mengurangkan pegangan dalam MAB.

“Ia pramatang untuk difikirkan. Sebahagiannya kerana dalam persekitaran industri penerbangan semasa, secara asasnya pertimbangan yang dibuat hanya tentang penjualan aset dan prosedur ketidaksolvenan.

“Oleh itu, apa-apa perbincangan tentang rancangan membawa masuk pelabur baharu mungkin hanya berlaku selepas pasaran penerbangan pulih dan kami menjangkakannya pada 2023, atau paling awal 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya