KUALA LUMPUR: Kuota kemasukan pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ditambah antara 30 sehingga 40 peratus pada masa depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rancangan penambahan kuota tersebut dibuat selepas menilai keupayaan dan kebolehan pelajar MTD dalam bidang ketenteraan serta akademik.
Kata beliau, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung perkara terbabit.
“UPNM memang universiti ketenteraan dan akademik. MTD sangat sesuai dengan UPNM dan sebelum ini memang ada kuota 10 peratus untuk mereka.
“Cuma kita mahu lebih banyak ruang kepada pelajar MTD untuk diterima masuk ke UPNM.Perkara ini akan dibincangkan bersama KPT nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari. – UTUSAN ONLINE