GEORGETOWN: Seorang ibu dan anak perempuannya hidup dalam ketakutan selepas diganggu ah long yang menuntut hutang anak lelakinya yang dipercayai meminjam lebih setengah juta ringgit.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kang, 65, berkata, dia mula diganggu awal Februari lalu oleh sekumpulan ah long yang mencari anak lelakinya, Yeoh, 38, supaya menjelaskan hutang.
Menurut Kang yang merupakan seorang peniaga, ah long berkenaan bertindak mengedarkan notis yang memaparkan gambarnya dan anak lelakinya itu di kawasan kejiranannya di Taman Riang, Butterworth dekat sini.
Tidak cukup dengan itu tambahnya, ah long berkenaan turut mengganggu anak perempuannya, Cheng Ling, 35, menerusi aplikasi WhatApps dan mengugutnya menjelaskan hutang abangnya.
“Kami langsung tidak mengetahui mengenai hutang-hutang yang dibuat Yeoh itu dan tidak tahu di mana dia berada kerana dia sudah melarikan diri.
“Kami juga sudah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Yeoh dan merayu ah long-ah long ini berhenti mengganggu dan mengugut kami,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan negeri, di sini hari ini.
Menurut Kang, dia dan anak perempuannya sudah membuat laporan polis berhubung gangguan ah long itu pada 1 dan 3 Mac lalu dan berharap pihak berkuasa dapat bertindak menghalang ah long tersebut daripada terus mengganggu mereka.
Katanya, dia difahamkan anak lelakinya itu yang bekerja sebagai pembekal sayur di Butterworth meminjam dengan beberapa ah long dengan jumlah antara RM500,000 hingga RM600,000 untuk berjudi dalam talian.
Sementara itu, Cheng Ling berkata, dia kini bimbang dengan keselamatan dua anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun selepas ah long tersebut turut mengugut menggunakan gambar keluarganya yang diambil menerusi Facebook.
“Ah long ini turut bertindak mengedar notis yang memaparkan gambar ibu dan abang saya di rumah saya dan mengugut akan melakukan perkara sama melibatkan keluarga saya.
“Saya bimbang dengan keselamatan dua anak sekiranya mereka turut diganggu ah long ini terutama apabila mereka perlu ke sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ah long terutama yang bertindak mengganggu pihak lain khususnya ahli keluarga yang tiada kena-mengena dengan hutang tersebut.
“Ah long ini sepatutnya mengetahui persetujuan hutang itu adalah antara mereka dan si peminjam sahaja dan sebarang risiko perlu ditanggung kedua-dua pihak ini, bukannya melibatkan orang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE