JOHOR BAHRU: Kenyataan sinis Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Rais Yatim berhubung pelaksanaan undi 18 yang kononnya sukar dilaksanakan dilihat membelakangkan suara rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen yang telah membuat keputusan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir berkata, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang telah diluluskan Parlimen tidak lagi menjadi pertikaian bahkan disambut baik semua pihak bagi merealisasikannya.
Katanya, kenyataan itu amat tidak masuk akal kerana agenda undi 18 bukanlah perkara baru dan merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-14 bagi mengiktiraf suara dan penglibatan orang muda dalam menentukan hala tuju negara.
“Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memberikan komitmen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini, Rais Yatim berterusan memainkan isu yang sama.
“Ini menimbulkan kebimbangan adakah kerana Perikatan Nasional (PN) terlalu bimbang akan suara orang muda yang menolak mereka, maka terdapat gerakan tersusun bagi menggagalkan usaha ini dengan melantik Rais Yatim sebagai jurubicaranya.
“Jika benar berlaku, maka ia dilihat seperti mengesampingkan institusi Parlimen, memperlekeh penjawat awam yang melaksanakan tugas serta menghina orang muda dalam membuat pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang dipengerusi oleh Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Pengundi 18 tahun adalah cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda.
Ketika ini, Parlimen belum bersidang sehingga 1 Ogos walaupun Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada suatu tarikh yang dirasakan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata, Rais Yatim perlu lebih fokus kepada usaha memperkasakan martabat Dewan Negara sesuai dengan peranan beliau sebagai Yang Dipertua berbanding berterusan bermain dengan sentimen politik sebegini.
Jelasnya, sebarang usaha menggagalkan pelaksanaan undi 18 hendaklah segera dihentikan dan SPR serta agensi terlibat perlu diberikan kebebasan dalam melaksanakan tugas mengikut garis masa yang telah disasarkan iaitu pada Julai 2021.
“Janganlah kerana kekalahan PN semakin hampir, maka 1001 jalan manipulasi dirangka yang natijahnya akan merosakkan sistem demokrasi dan pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE