JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya tidak akan membiarkan agensi penguat kuasa nombor satu negara itu dikuasai mana-mana pihak, termasuklah dalam kalangan anggotanya sendiri.
Beliau berkata demikian berhubung pendedahan dibuatnya semalam bahawa terdapat satu gerakan yang mahu menjatuhkan beliau dan bercita-cita untuk menguasai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa depan.
Jelas beliau, kumpulan ‘kartel’ kecil itu jika dibiarkan dikhuatiri akan menjadi ‘barah’ yang boleh merosakkan negara.
“Saya ada bukti yang kukuh bahawa memang ada gerakan kumpulan kecil yang cuba menguasai kepemimpinan dalam PDRM, perkara ini telah dikesan sejak tahun lalu lagi.
“Jadi saya perlu dedahkan kepada masyarakat kerana PDRM adalah hak rakyat bukannya hak individu tertentu, pendedahan ini perlu agar dapat mengekang mereka daripada mempengaruhi individu lain sehingga tidak dapat dikawal dan menjadi kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Tambah Abdul Hamid, budaya berpasukan kecil yang mahu mewujudkan kluster atau koloni sesama sendiri dengan cita-cita untuk menguasai jawatan tertinggi PDRM adalah sesuatu perbuatan yang amat jijik.
Abdul Hamid bagaimanapun memberitahu pihaknya masih belum membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana percaya perkara itu telah dapat dikawal.
“Belum sampai ke situ (laporan polis), saya kena dedahkan dahulu dan saya berani dedahkan sebab saya ada bukti-bukti untuk cubaan itu.
“Jadi kalau kita nak simpan cerita ini saya takut satu hari nanti dia jadi lebih berani, jadi lebih baik saya dedahkan, sedarkan mereka dahulu agar jangan buat kerja macam ini.
“Selagi saya Ketua Polis Negara, saya tidak akan benarkan PDRM digunakan mana-mana pihak sama ada diluar atau didalam untuk mengikut acuan dan kehendak mereka
“Akta polis itu yang paling utama dan mesti dijunjung, jadi tidak boleh ada elemen ‘underground’ yang cuba hendak pengaruhi pasukan ini, amat bahaya akibatnya kerana rakyat akan jadi mangsa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE