Isu kalimah Allah: Bimbang cetus tegang antara agama

Isu kalimah Allah: Bimbang cetus tegang antara agama

DR. LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah, solat, Baitullah dan kaabah, dikhuatiri boleh mewujudkan isu ketegangan antara agama.

Kegusaran itu disuarakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah yang turut berasa dukacita atas keputusan itu walaupun bagi tujuan pendidikan para penganut Kristian.  

“Jika tidak mampu selesai dengan cara lebih harmoni, dibimbangi ia bakal cetus ketegangan antara agama dan kaum negara ini,” katanya menerusi kenyataan pejabat mufti di sini hari ini.

Rabu lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan empat kalimah itu digunakan dalam pembelajaran dan penerbitan agama Kristian setelah kes itu mula difailkan pada 2008 lalu.

Ia bukan sahaja menyebabkan umat Islam di negara ini marah, malah menyebabkan imej kerajaan Perikatan Nasional merosot teruk kerana didakwa tidak serius dalam isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, meskipun berasa dukacita, namun pejabat mufti itu percaya isu ini boleh diselesaikan dengan cara lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak berautoriti.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung akan berkait dengan nilai sensitiviti dan perkara ini mestilah dijaga cukup baik,” jelas beliau.

Pada masa sama ujarnya, umat Islam di Malaysia diseru supaya kekal teguh memelihara kedaulatan agama Islam seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berharap masyarakat Muslim terus kekal bersatu atas dasar akidah Islam yang sahih dan berteraskan kerangka Ahlus Sunah wal Jama’ah.

Bahkan tambah Luqman, dalam tempoh pandemik Covid-19 yang masih lagi melanda negara, umat Islam dinasihatkan sentiasa berusaha mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah.

“Ingatlah, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan khayra ummah atau umat yang terbaik, sekali gus akan menjadi teladan kepada sekalian manusia di dunia,” tegas beliau lagi.

Muslim juga digesa memelihara ibadah seperti kewajipan solat fardu, mendekatkan diri terhadap Allah menerusi zikir munajat sambil gigih berdoa meminta pertolongan kepada Allah.

Selain itu, beliau menyeru dijaga adab dan tatasusila berasaskan akhlak Rasulullah SAW kerana kesemua itu akan menjadi dasar kekuatan umat mendepani cabaran yang mendatang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.