Harga rumah PPK dikaji semula - Utusan Malaysia

Harga rumah PPK dikaji semula

ABD. Latif Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah PPRT kepada Norsyam Abdullah, 47, pada Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal di Kampung Hujung Ketun, Pendang hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mengkaji semula harga rumah di bawah Projek Pemajuan Kawasan (PPK) untuk golongan miskin dan miskin tegar bagi menyesuaikan dengan harga pasaran ketika ini.

Menterinya, Datuk Dr. Abd Latif Ahmad berkata, rumah yang dibina di kawasan tersebut adalah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berharga RM48,000 seunit dan harga tersebut rendah mengakibatkan tender pembinaannya ditolak kontraktor.

“Dalam tempoh setahun, kita sasarkan pembinaan sebanyak 3,000 unit rumah dan serahkan kepada GiatMara untuk urus tender.

“Banyak pemborong menolak kerana harga tak untung, kita sedang mengkaji harga ini supaya dapat tender dengan cepat dan teratur,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal di Kampung Hujung Ketun, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail.

Program PPK Taman Desa Tawakkal itu menempatkan sebanyak 57 keluarga miskin dan miskin tegar.

Kata Abd. Latif, setakat ini terdapat lebih 30 PPK di seluruh negara yang memanfaatkan lebih 300 penduduk luar bandar.

“Dari segi pemilihan, ia tiada pilih kasih kita ada prosedur operasi standard yang telus. Kita agih kepada mereka yang betul-betul layak.

“Setakat ini, saya tidak mendapat sebarang aduan dan jangan curiga malah kerana sekarang semua maklumat mudah nak dapat untuk tengok samada orang itu layak atau tidak,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihatkan agar semua penerima rumah berkenaan tidak menyewakannya kepada pihak ketiga.

“Setakat ini tidak ada laporan tetapi jika kita dapat tahu mereka ada iklan macam-macam jadi tindakan diambil. Rumah ini kita berikan kepada mereka untuk didiami dan mereka harus patuhi perjanjian ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya