KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan terkenal, Datin Ira Ghani, melahirkan rasa kesal dengan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan Aura Seri sebagai jenama produk mereka.
Menurut pelakon drama 7 Hari Mencintaiku dan Kerana Anisa ini, dia tidak menyangka keputusannya untuk berehat selama lima tahun dalam dunia keusahawanan seolah-olah telah membuka ruang kesempatan oleh mereka yang terlibat untuk mencabuli hak dan jenama tersebut.
“Saya dah bina jenama Aura Seri sejak 20 tahun lalu dan tak sangka bila kami berdiam, ada pula parasit yang sesuka hati mencabul jenama itu.
“Sudahlah meniru, siap meyakinkan orang ramai bahawa produk tiruan itu boleh membuang saka, halau hantu dan jin, sampaikan saya disangka bomoh. Itu mengarut!
“Kalau saya tak ambil tindakan sekarang untuk memperbetulkan persepsi salah ini, mungkin akan ada lebih ramai orang yang akan percaya benda-benda merepek macam itu,”katanya.
Ira berkata demikian ketika ditemui dalam sebuah sesi ramah mesra bersama media kelmarin.
Selain itu, menurut Ira lagi, dia juga sudah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka masih meneruskan perniagaan menggunakan jenama Aura Seri yang telah lama dipatenkan.
“Setelah disiasat, ada antara individu itu pernah menjadi protege kami. Sudah ditegur dan amaran keras sudah diberikan sebelum ini.
“Bagi saya, tak salah kalau nak jadikan perniagaan dan jenama Aura Seri sebagai inspirasi, tetapi jangan sampai mengaku idea orang sebagai kepunyaan sendiri,”katanya.
Dalam perkembangan lain, bekas pengacara program Feminin siaran TV1 ini juga bakal muncul dengan program bual bicara kendaliannya sendiri yang diberi nama Santai With DIG.
Berdurasi 13 episod, program tersebut akan bersiaran di platform You Tube setiap Jumaat pada pukul 8.30 malam dan akan menampilkan artis popular tanah air sebagai tetamu jemputan setiap minggu.