Hak jaga anak mangsa bunuh, JKM tunggu polis selesai siasatan - Utusan Malaysia

Hak jaga anak mangsa bunuh, JKM tunggu polis selesai siasatan

ZAITON Ismail (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada warga emas, Azizah Omar sambil diperhatikan Mohamad Hapil (kanan) ketika melawat dan menyampaikan sumbangan di Kampung Kempas Baru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri perlu menunggu laporan siasatan polis selesai sebelum memulakan proses memohon hak penjagaan dua anak kepada wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian di Taman Saujana, Kota Tinggi pada 1 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, buat ketika ini, kedua-dua anak lelaki mangsa berusia tiga dan empat tahun dijaga oleh ibu saudara mereka.

Jelasnya, kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan JKM memerlukan laporan penuh untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menentukan pihak yang layak mendapat hak penjagaan.

“Permohonan tersebut nanti akan menentukan siapa yang mempunyai hak untuk menjaga dua kanak-kanak tersebut sama ada keluarga sebelah ibu atau keluarga sebelah bapa.

“Ketika ini dua kanak-kanak tersebut tinggal dan dijaga ibu saudara mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal, Azizah Omar, 70, di rumahnya di Kampung Kempas Baru, Kempas, di sini hari ini.

Terdahulu, Zaiton bersama-sama Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil melawat Rumah Perlindungan Wanita Kempas dan rumah pasangan mualaf warga emas di Jalan Banjaran 10, Kempas Baru, di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama, Zaiton memberitahu, pihaknya meminta kaum isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu tampil membuat aduan demi keselamatan mereka bagi mengelak keadaan bertambah teruk dan tidak hanya berdiam diri. 

“Mereka yang menjadi mangsa dera ini tidak perlu rasa takut kerana segala maklumat yang diberi akan dirahsiakan. Kebanyakan isteri yang didera ini merasa takut, malu dan tidak berani lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai cahaya mata dan risau akan masa depan mereka,” katanya.

Malah, Zaiton turut menasihatkan agar jiran-jiran dan masyarakat setempat perlu peka dan mengambil tahu keadaan yang berlaku di sekeliling mereka supaya pencegahan dapat dilakukan dan segera laporkan kepada pihak polis sekiranya menyedari perkara buruk yang berlaku.

Tambahnya, kerajaan negeri sedang merangka kursus pasca perkahwinan dengan bantuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi melaksanakan kursus tersebut mengikut tempoh perkahwinan yang ditetapkan. 

“Sasaran kita adalah golongan muda kerana pasangan ini biasanya menyumbang tinggi untuk kes-kes di bawah JKM. Mungkin kita tumpu kursus pasca perkahwinan untuk pasangan yang sudah 10 tahun berkahwin terlebih dahulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya