KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneruskan pentadbirannya sehingga cukup penggal lima tahun yang dijadual berakhir Mei 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ini kerana usaha kerajaan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 serta membela kehidupan masyarakat secara tuntas memerlukan masa dan perlu direkodkan.

Justeru katanya, jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, masanya terlalu suntuk kerana belum lagi dibuktikan standard kehidupan rakyat daripada peruntukan RM322.5 bilion Belanjawan 2021 yang diluluskan.
“Menghabiskan satu penggal pentadbiran akan memberi banyak faedah kepada kerajaan dan rakyat sebab bajet yang baru lulus ini baru satu perlapan digunakan, padahal ia peruntukan paling besar RM322.5 bilion. Penyerlahan atau impaknya tidak terasa lagi.
“Tidak perlu takut ke Parlimen sebab mereka (pembangkang) tidak akan berjaya melakukan undi tidak percaya. Main bicara dan `songlap musang-musang’ bolehlah. Tapi (kerajaan PN) tak ada yang jatuh,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Rais turut menyeru semua anggota Kabinet termasuk menteri-menteri daripada UMNO supaya terus menyokong kerajaan sedia ada.
“Anda harus lebih lantang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Jangan main dua belah. Awak menteri, takkan tengok sahaja. Tegaskan pendirian, be gentleman,” katanya.
Ditanya tentang cakap-cakap kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti di Parlimen, beliau berkata: “Itu cakap-cakap sahaja. Jika tadbir urus kerajaan (PN) mencapai rekod, saya fikir majoriti beliau (Muhyiddin) takkan terjejas.”
Kelmarin, Muhyiddin berkata, PN adalah tawaran baharu kepada rakyat yang akan terus kekal untuk tempoh panjang selain diyakini akan menjadi gabungan parti politik pilihan utama.
Kata Perdana Menteri, PN ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik berkongsi aspirasi negara bagi generasi akan datang dan mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan berdaya saing.
Pengerusi PN itu mengungkapkan keyakinan tersebut ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) secara dalam talian.
Dalam pada itu, penganalisis politik berpendapat meskipun dilanda tekanan hebat, Perikatan Nasional (PN) dijangka terus kekal menerajui kerajaan sehinggalah pembubaran Parlimen dan pengisytiharan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, penambahan tiga sokongan ahli Parlimen bukan Melayu Islam bukan sahaja mengukuhkan kedudukan PN, tetapi juga menunjukkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah musuh kepada UMNO.
Malah, beliau berpandangan UMNO wajar memberikan peluang kepada Bersatu dan PN untuk terus mentadbir negara, selain mempertimbangkan kerjasama dengan Bersatu dan tidak mengancam untuk menarik balik sokongan sebelum Parlimen dibubarkan.
“Ini berita baik buat PN dan juga UMNO, kerana sokongan ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar, ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong terhadap PN menunjukkan Bersatu bukannya mahu menggantikan UMNO, sebaliknya mereka akan menjadi ‘next’ PKR.
“Bersatu jelas sedang membina identiti baharu yang berteraskan pelbagai kaum dan membentuk kekuatan baharu tetapi ternyata mereka bukan pesaing UMNO. Jadi, UMNO tidak perlulah hentikan kerjasama, sebaliknya boleh terus mengukuhkan kerajaan PN bersama Bersatu dan Pas,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berpendapat, isu lompat parti tidak timbul selagi ia boleh menjadi jalan penyelesaian untuk menstabilkan ‘suhu’ politik negara dan kedudukan PN sebagai parti pemerintah.
“PN mempunyai kekuatan tambahan dengan adanya ahli Parlimen lompat parti menjadi bebas dan pro PN.
“Ini suatu kelebihan kepada PN jika ada sidang Parlimen dalam masa terdekat bagi mengelakkan daripada berlaku undi tidak percaya,” katanya. – UTUSAN










