KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mendiamkan diri malah sentiasa dan kerap melakukan rondaan di sekitar Bukit Malut di Pulau Langkawi yang didakwa dikuasai warga Myanmar.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, antara operasi termasuklah membanteras kes dadah dan jenayah-jenayah lain di kawasan itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, isu penempatan warga asing tersebut memerlukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memutuskan dasar dan pendekatan muktamad.
“Ini kerana ia melibatkan isu kedaulatan negara dan isu hak asasi manusia.
“Apa juga keputusan kerajaan pasti akan mencetuskan pelbagai reaksi positif dan negatif termasuk dari luar negara,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan penempatan haram warga Myanmar di Bukit Malut dikesan makin luas dan penduduknya seolah-olah kebal undang-undang kerana menceroboh tanah kerajaan.
Tinjaun Utusan Malaysia pula dianggarkan terdapat kira-kira 2,500 buah rumah dengan 10,000 penduduk mendiami penempatan yang kini sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’.
Suasana itu tidak menyenangkan penduduk tempatan yang mendakwa penerokaan tersebut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau selain mencacatkan imej pulau legenda tersebut. – UTUSAN











