Bukan masa sesuai perkenal cukai baharu - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Bukan masa sesuai perkenal cukai baharu – Tengku Zafrul

-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai baharu pada masa ini kerana berpendapat sekarang bukanlah masa yang sesuai berikutan ekonomi yang terkesan akibat Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, fokus dan usaha kerajaan sekarang adalah ke arah memulihkan ekonomi negara walaupun kerajaan sedang mengkaji beberapa jenis cukai termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kerajaan sedang mengkaji semua jenis cukai namun pada masa ini hanyalah berbentuk kajian sahaja. Sekarang bukan masa yang tepat memperkenalkan apa jua cukai baharu.

“Pada masa ini, fokus kerajaan adalah memulihkan ekonomi. Memang diakui hasil negara memanglah terkesan tahun lalu, namun Insya-Allah tahun ini bakal menunjukkan pertumbuhan yang baik.

“Malah, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekarang telah meletakkan rancangan pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha harumanis Perlis di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh dan Pengerusi Jawatan kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob.

Sementara itu, Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan akan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM260 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kepada semua kerajaan negeri.

Katanya, bantuan tersebut akan diagihkan bermula Isnin ini secara sama rata iaitu RM20 juta kepada setiap negeri bagi tujuan pelaksanaan projek-projek kecil bagi memulihkan ekonomi di peringkat akar umbi.

“Projek-projek kecil tersebut akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 daripada segi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam, serta penyelenggaraan premis perniagaan bagi memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pemerkasa bernilai RM20 bilion serta suntikan fizikal baharu berjumlah RM11 bilion dalam merancakkan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.